Saturday 13 November 2010

The 10th WSEAS International Conference on EDUCATION and EDUCATIONAL TECHNOLOGY (EDU '11)

CALL FOR PAPERS:

The 10th WSEAS International Conference on EDUCATION and EDUCATIONAL TECHNOLOGY (EDU '11)
http://www.wseas.us/conferences/2011/penang/edu/
will be held in Penang, Malaysia, October 3-5, 2011


Sponsored by WSEAS, IASME, IARAS, WSEAS Transactions on Computer Science, WSEAS Transactions on Circuits and Systems, WSEAS Transactions on Systems and Control, WSEAS Transactions on Systems, WSEAS Transactions on Communications, WSEAS Transactions on Computer Research, WSEAS Transactions on Signal Processing, WSEAS Transactions on Advances in Engineering Education, WSEAS Transactions on Electronics, WSEAS Transactions on Mathematics

In Collaboration with the WSEAS IWG (International Working Group) on Computational Intelligence, the WSEAS IWG on Man-Machine Systems, the WSEAS IWG on Computer Science, the WSEAS IWG on Cybernetics, the WSEAS IWG on Applied Computing and Simulation, the WSEAS IWG on Circuits and Systems

The organizing committee calls you to submit your papers, special sessions and tutorials.

DEADLINES:

Deadline for Paper Submission:

August 3, 2011


Notification of Acceptance / Rejection:

One month after paper submission

the 5th International Technology, Education and Development Conference, INTED2011

CALL FOR ABSTRACTS


DEADLINE SUBMISSION: 25th November 2010
Dear colleague,

We invite you to submit your abstracts and participate in the 5th International Technology, Education and Development Conference, INTED2011, that will be held in Valencia (SPAIN) on the 7th, 8th and 9th of March 2011.

It will be an international forum to present and share your experiences in the fields of Education, Technology and Development.
The attendance of more than 500 delegates from more than 60 countries is expected, being an annual meeting point for lecturers, researchers, academics, educational scientists and technologists from all cultures and continents.
You can present your contributions in two modalities:

* In person: oral and poster presentations.
* Virtually: if you can not attend in person.

INTED2011 Abstracts CD and Proceedings CD, both with ISBN, will be produced with all accepted abstracts and papers.

We look forward to seeing you in Valencia!

Yours sincerely,
INTED2011 Organising Committee
inted2011@iated.org

Copyright (C) 2006-2011 IATED
All rights reserved
Important notes...

Dates:
7th-9th March 2011

Venue:
Valencia, SPAIN


On-line abstract submission available here!


Deadlines
Abstract submission:
25th November 2010

Acceptance notification:
16th December 2010

Final Paper submission:
26th January 2011
For more information:
www.inted2011.org


Last Edition Videos:
Click here to watch Inted2010 videos and testimonials

Sunday 24 October 2010

Sejarah subjek teras sekolah rendah 2014

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 24 Okt. - Selepas mengumumkan mata pelajaran Sejarah wajib lulus bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerajaan hari ini mengambil pendekatan menjadikannya sebagai subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, penambahan baru juga akan dibuat pada mata pelajaran tersebut antaranya menekankan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan.

Ketika ini, katanya, unsur mata pelajaran Sejarah banyak 'menumpang' pada subjek Kajian Tempatan yang diajar kepada murid Tahap Dua di sekolah rendah.

''Kita akan laksanakan subjek Sejarah ini bermula pada Tahap Satu dengan berkonsepkan education is fun menerusi pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.

''Kita mahu jadikannya sebagai mata pelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, pihaknya perlu melatih semula guru mata pelajaran Sejarah sedia ada sebelum mata pelajaran tersebut boleh diajar kepada murid sekolah rendah.

Katanya, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk mengisi keperluan pembentukan negara Malaysia yang maju dan meningkatkan patriotisme rakyat agar generasi muda mengetahui asal-usul serta kepentingan menghormati Perlembagaan negara.

Mohd. Puad turut menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya keputusan mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus akan membebankan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, subjek Sejarah akan diubah suai dengan dimasukkan elemen baru bagi menjadikannya lebih menarik dan efektif.

''Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air merupakan antara topik yang diberi keutamaan dalam subjek berkenaan bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wednesday 29 September 2010

PROSEDUR KESELAMATAN MENCEGAH KEGIATAN KONGSI GELAP DI SEKOLAH.

Oleh Aede Hatib Musta'amal (Januari 1999)
Sumber asal:http://aede.tripod.com/school_gang.html

1.0 PENGENALAN

Kebelakangan ini masyarakat Malaysia digemparkan dengan kes-kes salah-laku jenayah di kalangan pelajar. Antara kes yang berlaku ialah kematian Mohd Zulkarnain Rahim, empat belas tahun, pelajar tingkatan dua, Sekolah Dato’ Abdul Rahman Yassin, Johor Bahru. Beliau mati setelah dipukul oleh samseng sekolah (Pendidikan: Massa 8 Mac 1997, hal 56). Dalam suatu kes yang lain Polis Daerah Muar telah menahan empat puluh empat orang pelajar yang disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap serta penyalahgunaan dadah (Berita Harian 19 Februari 1997, hal 1). Dalam satu kes yang berasingan di Johor Bahru, 26 remaja termasuk seorang pelajar sekolah yang dipercayai terbabit dengan kegiatan kongsi gelap telah ditahan reman di mana mereka juga dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah, berlumba secara haram, samun dan sebagainya (Utusan Malaysia 20 Februari 1997).

Kesalahan-kesalahan di atas merupakan kesalahan berat yang perlu dirujuk kepada pihak polis dan ia dikategorikan sebagai Jenayah di dalam jenis-jenis salah laku yang terdapat di sekolah. Ianya termasuk juga mencuri, menumbuk guru, bergaduh sesama murid, berjudi, memeras ugut, membuli, membawa senjata merbahaya, memukul murid lain, mengancam guru, mengancam murid, mencederakan kawan dan sebagainya. Fenomena di atas memberikan petanda seolah-olah wujudnya perkaitan di antara budaya samseng di sekolah dengan kegiatan kongsi gelap di kalangan pelajar sekolah. Kertas ini cuba untuk membincangkan sejarah, latar belakang, permasalahan, cara-cara mengatasi dan halangan-halangan yang timbul dalam menangani situasi sosial dikalangan pelajar khususnya yang berkaitan dengan kongsi gelap di sekolah. Ini seterusnya membawa kepada pembentukan prosedur keselamatan bagi mencegah atau sekurang-kurangnya membendung gejala ini dari terus membarah di kalangan pelajar sekolah kita.


2.0 SEJARAH DAN LATARBELAKANG KONGSI GELAP

Sejarah kongsi gelap bermula pada pertengahan kurun ke 17 di negara China. Pada asalnya, kongsi gelap ini bertujuan untuk menggulingkan Dinasti Manchu. Ini disebabkan rasa tidak puas hati rakyat China terhadap pemerintahan Manchu yang tidak adil. Apabila pemerintah Dinasti Manchu mengambil tindakan dan perjuangan mereka tidak mencapai matlamat, ramai daripada rakyat China yang menganggotai kongsi gelap ini telah berhijrah ke negara-negara di Asia termasuklah Tanah Melayu. Di mana sahaja mereka berhijrah mereka telah membawa bersama pengaruh kongsi gelap mereka. Di Tanah Melayu dikenalpasti bahawa pengaruh awal kongsi gelap bermula daripada kedatangan kaum Cina untuk menjalankan kerja-kerja perlombongan bijih timah. Dua puak yang terbesar ketika itu ialah Ghee Hin dan Hai San. Pertelingkahan dan pergaduhan yang berlaku antara kedua puak ini, menjelaskan budaya yang dibawa oleh mereka dari tanah China.

Walaupun pada peringkat awalnya kumpulan ini lebih bertujuan untuk melindungi kaum Cina, namun akhirnya kumpulan ini bertukar fungsi dan kegiatannya. Jika dahulu kongsi gelap menumpukan kegiatan mereka dalam jenayah seperti bunuh, pertempuran penculikan, mengutip wang perlindungan dan membuka pusat perjudian, kini kegiatan mereka bertumpu pula pada kegiatan pusat karaoke, pusat permainan video dan sebagainya.

3.0 DEFINISI

Kongsi gelap didefinisikan perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah (Kamus Dewan Edisi ketiga, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1996, hal 700). Polis pula mendefinisikan kongsi gelap sebagai suatu organisasi jenayah Cina yang mempunyai hirarki tersendiri yang mengamalkan budaya angkat sumpah dan adat istiadat yang didasarkan budaya dan tradisi masyarakat Cina (Ketua Inspektor Ridzwan, Ibu Pejabat Polis daerah Batu Pahat). Manakala kumpulan samseng atau Thug Gang pula adalah satu kumpulan individu yang bergabung untuk tujuan jenayah di mana kewujudan adalah secara berterusan dengan ikatan yang agak longgar (Ketua Inspektor Ridzwan, Ibu Pejabat Polis daerah Batu Pahat). Antara ciri istimewa yang membezakan antara kongsi gelap dan kumpulan samseng biasa ialah:

1. Wujudnya organisasi yang agak kemas
2. Berlakunya warisan kepimpinan
3. Pengrekrutan dan kenaikan pangkat
4. Penggunaan unsur kebudayaan dan kepercayaan kaum
5. Penghargaan dan sokongan masyarakat.



Ciri signifikan kongsi gelap inilah yang membolehkan ianya bertahan dan terus wujud dalam masyarakat Malaysia.

Jika ditinjau di seluruh dunia pula, maka kita akan mendapati bahawa gejala kongsi gelap ini tidak tertumpu di Asia sahaja malahan ia terdapat di mana-mana kawasan dalam sesebuah negara yang terdapat kaum Cina yang ramai. Fenomena ini sedikit-sebanyak memberi panduan kepada kita, mengapakah kegiatan kongsi gelap di Malaysia agak aktif di kawasan yang ramai penduduk Cina. Negeri-negeri yang menjadi pusat kegiatan kongsi gelap adalah Pulau Pinang, Perak, Johor dan Pahang. Kaedah pergerakan kongsi gelap di Malaysia adalah hampir sama. Malahan dalam hal tertentu tidak ada perbezaan langsung. Ini berpunca daripada asal-usul kongsi gelap itu sendiri, yang dipercayai berasal dari dua kumpulan utama iaitu Ghee Hin dan Hai san.

Oleh kerana terdapat organisasi yang rapi maka kongsi gelap sentiasa mempunyai pelapis pimpinan tersendiri. Kepimpinan kongsi gelap bermula daripada pengrekrutan ahli baru kepada kenaikan pangkat demi pangkat sehinggalah menjadi pimpinan tertinggi. Bagi setiap kenaikan pangkat seseorang ahli itu akan diuji oleh pimpinan senior. Pengrekrutan ini sebagaimana yang disebutkan oleh, Ketua Inspektor Ridzwan dari Ibu Pejabat Polis Batu Pahat, kebiasaannya bermula dari sekolah. Di mana pelajar-pelajar sekolah akan dipujuk rakan sebaya untuk menganggotai kongsi gelap yang mereka sertai. Kesan daripada aktiviti ini menyebabkan berlakunya gejala sosial seperti pergaduhan, ponteng, ugut dan meminta wang perlindungan di sekolah.

4.0 KONGSI GELAP DI SEKOLAH

Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara tersebut beliau berkata;
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar umbi."
(Utusan Malaysia 20 Feb 97)

Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Statistik menunjukkan betapa penglibatan pelajar dalam kegiatan kongsi gelap pada tahap yang cukup membimbangkan. Keadaan ini dipercayai berlaku kerana adanya cubaan oleh beberapa kumpulan kongsi gelap untuk menguatkan kegiatan dan pengaruh mereka di sekolah-sekolah dengan mengambil pelajar sebagai anggota baru mereka (Berita Harian 3 Februari 1997). Berdasarkan beberapa laporan akhbar tempatan selain Pulau Pinang dan Melaka, Johor merupakan antara negeri yang menjadi tumpuan beberapa kumpulan kongsi gelap dalam memperkukuhkan kegiatan mereka di kalangan pelajar sekolah. Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea, melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor. Ini sewajarnya mendorong semua pihak yang terlibat terutamanya pihak sekolah untuk berusaha menangani permasalahan ini secara lebih serius dan bersunggguh-sungguh demi memelihara keyakinan masyarakat terhadap sekolah sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran yang selamat serta berwibawa.

5.0 PENGREKRUTAN KONGSI GELAP: DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Berdasarkan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Pentadbiran) Negeri Melaka, Nozlan Ismail, beliau berkata pihaknya sedang berusaha mengesan beberapa kumpulan yang kini dilaporkan cuba mendapatkan tali barut dan anggota baru daripada kalangan pelajar sekolah (Berita Harian 3 Februari 1997). Menurutnya lagi, selain memujuk pelajar, kumpulan kongsi gelap, juga dikesan mengugut pelajar baru, terutama di tingkatan satu dan ternyata ugutan termasuk dicedera atau dibunuh jika enggan bekerjasama, menyebabkan pelajar yang masih mentah akur dengan kehendak kumpulan terbabit.

Selain daripada itu ada juga laporan lain yang menyatakan bahawa kumpulan kongsi gelap bergerak dengan memaksa atau memujuk bekas pelajar atau pelajar sesuatu sekolah menjadi anggota dan melantiknya menjadi orang tengah antara kumpulan itu dan pelajar sekolah (Berita Harian 2 Februari 1997). Difahamkan orang tengah dipilih selepas dipujuk dengan pelbagai tawaran palsu, termasuk kepimpinan kongsi gelap sekolah berkenaan, diberi kuasa untuk mengutip wang perlindungan daripada pelajar lain serta diberi perlindungan daripada dibuli. Setiap ahli baru dikenakan bayaran yuran kemasukan sebelum diterima menjadi ahli mana-mana kumpulan kongsi gelap. Jumlah yuran tersebut adalah berbeza dan bergantung kepada jumlah yang ditetapkan oleh setiap kumpulan itu. Sebagai contoh, , Pneh mengenakan bayaran RM36 sebagai yuran kemasukan manakala Wah Kee mengenakan bayaran 6.20 atau RM4.10 atau RM11, Indian Hooligans pula mengenakan RM5 (Berita Harian 2 Februari 1997).

6.0 AKTVITI KONGSI GELAP DI SEKOLAH

Walaupun secara amnya aktviti kongsi gelap telah banyak berubah namun terdapat juga pengekalan dalam aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan. Aktiviti yang dilakukan oleh kongsi gelap sekolah adalah seperti memeras ugut, meminta wang perlindungan, bergaduh dan merekrut anggota baru. Kes memeras ugut pelajar sering berlaku, contohnya di Muar di mana seorang pelajar tingkatan tiga telah dipukul hanya kerana tidak mahu menyerahkan wang ugutan sebanyak RM1. Akibat peristiwa tersebut, dua pelajar telah ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Polis Muar untuk siasatan (Berita Harian 20 Februari 1997). Dalam kes yang lain seramai 26 orang remaja termasuk seorang pelajar sekolah telah ditahan di Johor Bahru atas dakwaan terbabit dengan kegiatan kongsi gelap, pecah rumah, berlumba secara haram dan samun (Utusan Malaysia 20 Februari 1997).

En. Ng Ching Sea pula telah mendedahkan bagaimana terdapat segelintir guru sekolah menengah yang turut membayar wang perlindungan kepada para pelajar yang mengganggotai kongsi gelap. Mereka berbuat demikian kerana tidak tahan dengan tekanan dan ugutan daripada pelajar terbabit (Utusan Malaysia 20 Februari 1997). Berdasarkan kepada aktiviti yang dilakukan dan kes-kes tangkapan yang dibuat maka jelaslah kepada kita bahawa keadaan kongsi gelap di sekolah sememangnya dalam keadaan kritikal. Justeru itu langkah-langkah yang berkesan perlu diambil bagi memastikan bahawa gejala ini tidak sahaja dapat dikawal malahan dapat dibanteras sama sekali. Rentetan daripada isu ini juga, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Dr Fong Chan On memberi amaran kepada guru besar atau pengetua sekolah, jika mereka cuba menyembunyikan kegiatan jenayah membabitkan pelajar mereka daripada pengetahuan polis, mereka akan dikenakan tindakan disiplin (Pendidikan, Massa 20 September 1997, hal 51). Ini memandangkan gejala ini semakin serius dan tindakan menutup kesalahan ini daripada polis akan hanya menggagalkan usaha semua pihak untuk membendung masalah sosial yang yang membabitkan pelajar sekolah.

7.0 LATARBELAKANG MASALAH

Kadar jenayah remaja yang semakin meningkat khususnya pelajar sekolah bukan sahaja membimbangkan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tetapi turut menggugat kewibaan sekolah sebagai institusi sosial yang yang mempunyai peranan penting kepada pembentukan moral dan tingkah laku generasi muda. Ini merupakan petanda bahawa pihak sekolah perlu lebih bersungguh dan tegas dalam menangani isu-isu yang melibatkan disiplin serta salah laku dikalangan pelajar sekolah. Sekolah hendaklah mempunyai instrumen pengawalan sosial yang efisien bagi membolehkan ia berkeupayaan untuk mengawal gejala sosial dan membanteras jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Pelbagai bentuk reaksi telah ditunjukkan oleh semua pihak dalam membincangkan isu ini. Memetik pandangan, Dr.Abd.Rahim Abd.Rashid dalam artikelnya bertajuk "Mampukah Sekolah membanteras Jenayah?" ,

‘ Faktor persekitaran sosiobudaya sekolah yang buruk, seperti meningkatnya kadar keciciran, kadar kemiskinan dan pengangguran yang tinggi, diikuti dengan pelbagai gejala keruntuhan moral dan perkembangan kadar jenayah dan mendedahkan murid-murid sekolah dan juga pihak sekolah dengan pelbagai ancaman. Budaya jenayah biasanya berkembang dalam sosiobudaya yang buruk ini." (Pendidikan, Massa 8 Mac 1997, hal 56).

Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa sekolah perlu bersedia untuk menyediakan semaksima mungkin suasana serta peluang pendidikan yang berkualiti bagi mencorakkan perkembangan yang positif bagi tingkah laku, sosial dan masyarakat sekolah yang sentiasa terdedah dengan pelbagai krisis dan konflik kehidupan. Berasaskan faktor inilah maka di pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, mereka telah meletakkan usaha untuk membanteras masalah salah laku ini sebagai salah satu daripada agenda bertindak yang disusun dalam program-program Wawasan Pendidikan yang dilancarkan pada 9 April 1993 yang lalu, iaitu sepuluh perkara digariskan sebagai strategi pengisian Wawasan Pendidikan Negara, iaitu perpaduan, gaya pengurusan, kepimpinan, perkhidmatan penyayang, pengupayaan, sistem pengesanan, budaya ilmu, sekolah penyayang, dan budaya kecemerlangan (Pendidikan, Dewan Masyarakat Mei 1995, hal 16).

Persoalannya sekarang ialah, apakah telah wujud satu prosedur yang spesifik di dalam menangani penglibatan kegiatan kongsi gelap di kalangan pelajar sekolah kita? Kebelakangan ini ada dakwaan yang mengatakan bahawa kumpulan kongsi gelap sedang berusaha mengembangkan keahlian serta aktivitinya di kalangan pelajar sekolah, maka sekiranya benar dakwaan itu, apakah telah ada langkah-langkah atau sistem pencegahan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sendiri untuk mengekang dan seterusnya membanteras kegiatan ini di kalangan pelajar mereka? Penulisan ini akan membincangkan secara asasnya kaedah pencegahan yang dilakukan oleh beberapa pihak yang terlibat terutamanya pihak sekolah dan seterusnya cadangan untuk meningkatkan lagi keberkesanan prosedur yang ada.

8.0 FAKTOR-FAKTOR PENGLIBATAN PELAJAR .

Sebelum kita mencadangkan sebarang program khusus bagi mencegah penglibatan pelajar dengan kegiatan kongsi gelap, adalah penting bagi kita cuba menyelami kemungkinan punca-punca pelajar terlibat dengan kegiatan ini. Kongsi gelap mampu bertapak di sekolah kerana beberapa faktor, tetapi faktor utama yang mendorong kepada para pelajar menganggotainya ialah kemampuan mereka untuk memenuhi kehendak pelajar terlibat iaitu sesuatu yang tidak mampu dilakukan pihak lain. Mereka biasanya menunjukkan suatu penerimaan dan ikatan yang erat kepada pelajar terbabit. Dengan memahami kaedah kongsi gelap mengumpan para pelajar, ini akan dapat membantu pihak sekolah melakukan tindakan yang sewajarnya. Empat faktor utama yang merangsang pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah (William Gladden Foundation, 1992):

1. remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional.
2. Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan.
3. Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya.
4. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan.

Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas. Bagi memenuhi hasrat ini mereka mempergunakan kelemahan yang terdapat di dalam diri serta jiwa pelajar untuk menyertai kegiatan haram kumpulan mereka samada secara pujukan atau pun paksaan.

Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993) iaitu :

1. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka.
2. Perasaan komitmen dan "sense of belonging".
3. Perasaan mahu dikagumi dan kekuasaan.
4. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.
5. Perasaan diri dihargai dan kedudukan.
6. Tempat di mana diri dirasakan diterima.
7. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.
8. Tradisi keluarga.

Berdasarkan faktor-faktor di atas, kita dapat melihat bagaimana pelajar atau pun remaja yang mempunyai masalah hubungan yang dingin dengan keluarga mempunyai potensi yang besar untuk menjadi ahli atau pun sasaran kepada kumpulan kongsi gelap. Namun, ada juga faktor dalam diri pelajar atau remaja itu sendiri yang membawa mereka ke arah itu seperti perasaan ingin menonjolkan diri mereka di kalangan rakan sebaya dengan menggunakan kumpulan sebagai alat menunjuk kekuatan, kekuasaan dan juga kedudukan. Selain daripada itu faktor mengikut tradisi keluarga juga mempunyai pengaruh kepada penglibatan pelajar di dalam kegiatan ini.

9.0 KESAN-KESAN KEGIATAN KONGSI GELAP DI SEKOLAH

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).

Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan salah laku di sekolah. Ini menunjukkan bahawa kegiatan kumpulan seperti ini memberikan kesan yang negatif kepada situasi pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka. Sekolah-sekolah tersebut juga berkemungkinan menjadi pusat kegiatan salah laku oleh ahli kumpulan tersebut di mana ini akan menjejaskan kredibiliti, imej serta kewibawaan pentadbir sekolah dan pelajar mereka di mata masyarakat sekitar.

Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi kegiatan kongsi gelap di sekolah ialah :

1. wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan, ugutan dan sebagainya.
2. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka.
3. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam dan diancam.
4. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
5. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.



Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani permasalahan kegiatan kongsi gelap di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan pelajar kepada kegiatan kongsi gelap ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah perlaksanaan program pencegahan yang berkesan serta menyeluruh.

10.0 PROSEDUR KESELAMATAN PENCEGAHAN KEGIATAN KONGSI GELAP DI SEKOLAH

Masalah keselamatan di sekolah merupakan suatu isu yang sewajarnya ditangani secara bersama. Situasi hari ini memerlukan masyarakat, keluarga, sekolah dan pelajar sendiri membentuk suatu sekitaran yang sesuai untuk berlangsungnya proses pembelajaran. Mewujudkan sekolah yang selamat dan bebas daripada sebarang permasalahan disiplin merupakan langkah awal ke arah pencapaian pendidikan bertaraf dunia. Secara umumnya, membentuk sekolah yang selamat dan tersusun adalah lebih kepada komitmen dan kesungguhan komuniti. Di dalam penulisan ini, kita akan mengenengahkan beberapa prosedur keselamatan yang diamalkan oleh pihak sekolah, Jabatan pendidikan dan polis pada masa ini dalam usaha mereka menangani masalah kegiatan salah laku terutamanya kegiatan kongsi gelap di sekolah.


SEKOLAH (PINTAS)

Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku pelajar ialah

1. Tingkah laku jenayah
2. Tindakan lucah
3. Kekemasan diri
4. Tingkahlaku tidak mementingkan masa
5. Tingkahlaku kurang sopan dan biadab
6. Tingkahlaku musnah hartabenda
7. Tingkahlaku tidak jujur atau menipu
8. Ponteng

Kesemua jenis salah laku ini mempunyai pecahan kes yang lebih unik. Ini termasuklah kes penglibatan pelajar dengan kegiatan kongsi gelap, yang dikategorikan dalam jenis salah laku jenayah.

Bagi mengatasi masalah ini Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah mengambil program PINTAS sebagai satu kaedah untuk mengatasi masalah kongsi gelap di sekolah. Kaedah perlaksanaan program ini adalah seperti berikut:-


STRATEGI PERLAKSANAAN
MODUL PENINGKATAN DISIPLIN



TAHAP PERTAMA

Kenalpasti secara sulit pelajar yang perlu diberi perhatian dari tingkatan 1 hingga 5 melalui:

* Pemerhatian Pengetua/Guru Besar
* Pemerhatian Jawatankuasa Pelaksana
* Pemerhatian Pengawas/PRS
* Rujukan guru tertentu
* Lain-lain cara yang sesuai

Senaraikan nama pelajar-pelajar berkenaan dan jika melebihi 30 orang maka hendaklah diberi keutamaan kepada 30 orang pelajar yang tegar sahaja dan yang lain sebagai senarai simpanan

Masukkan senarai 30 orang pelajar berkenaan ke dalam buku daftar/laporan dan catatkan sedikit latarbelakang setiap pelajar berkenaan mengikut buku pendaftaran dan jenis-jenis kesalahan yang sering menjadi masalah sekolah.



TAHAP KEDUA
Adakan mesyuarat Jawatankuasa pertama untuk menerangkan sejelas-jelasnya tujuan, objektif dan matlamat yang hendak dicapai oleh Jawatankuasa Pelaksana Modul Disiplin

Membentangkan senarai cadangan nama pelajar yang dikenalpasti kepada Jawatankuasa dan mengesahkan kenakalan setiap pelajar (Pelajar dari proses didik PINTAS)

Melantik 10 orang Jawatankuasa sebagai fasilitator dan menyerahkan kepada Jawatankuasa berkenaan untuk memilih 3 orang sahaja klien masing-masing.


Setiap fasilitator cuba mengenali secara terperinci latarbelakang kliennya termasuk kemajuan pelajaran, tahap pelanggaran disiplin yang dilakukan, kecenderungan minat, hobi dan sebagainya.




TAHAP KETIGA

Setiap fasilitator mengadakan pertemuan informal dengan klien masing-masing untuk membina hubungan mesra/rappor. Jangkamasa pertemuan tidak terhad tetapi tidak lebih 10 minit seorang. Dalam pertemuan itu dinyatakan:-

* Tujuan pertemuan
* Tugas fasilitator kepadanya
* Cadangan-cadangan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum
* Proses tindakan disiplin di sekolah
* Satu set peraturan sekolah dan minat klien baca dan tandatangan di buku laporan sebagai tanda memahami peraturan sekolah

Rancang dan atur penglibatan klien di dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti kokurikulum secara aktif. Libatkan mereka di dalam tugas-tugas tertentu aktiviti sekolah seperti menganjurkan sukan sekolah, majlis Maulud Nabi, sambutan Hari Ucapan dan sebagainya.

Programkan rancangan pertemuan informal yang berjadual (untuk jangkamasa 5 minit) sekurang-kurangnya 1 minggu sekali. Waktu pertemuan mungkin masa rehat, waktu pagi, balik dsb.

Mewujudkan hubungan dua hala yang rapat antara fasilitator dengan keluarga/penjaga klien. Dapatkan nombor telefon, alamat sebenar dsb. Tujuanya untuk bertukar pendapat, khidmat nasihat, memberi peningkatan dsb.




TAHAP KEEMPAT

Mesyuarat Jawatankuasa kedua dan semua fasilitator memberi laporan kemajuan dan tindakan yang perlu diambil.

Adakan suatu projek khas untuk klien yang semakin merosot disiplinnya seperti Khemah Kerja, Kem Jaya Diri, Lawatan ke Penjara, Program Kesedaran Khas dsb.

Mengadakanpertemuan tidak rasmi antara semua klien yang terlalu tegar dengan Pengetua dan Jawatankuasa Disiplin da jelaskan peraturan sekolah dan tindakan lanjutan jika terus melanggar disiplin.






TAHAP KELIMA

Meneruskan pertemuan singkat dengan klien masing-masing setiap minggu dan lihat perkembangan/ kemajuan/tatlaku seterusnya.

Jika klien masih terlalu tegar maka atur pertemuan dengan keluarga klien dan maklumkan tindakan lanjutan sekiranya anak jagaan masih meneruskan tingkah laku melanggar disiplin – minta perhatian daripada keluarga.

Ambil tindakan disiplin jika klien masih terus melakukan pelanggaran disiplin dan kemudian jalankan proses kaunseling. Minta pelajar daftar nama bila sampai ke sekolah.

Jika tiada perubahan bolehlah ambil tindakan disiplin
yang lebih berat.

Bagi pelajar yang menuunjukkan kemajuan tingkahlaku yang positif maka hendaklah beri pengukuhan seperti memberi surat sokongan bertulis, surat pujian dsb.



TAHAP KEENAM (Penilaian)

Mesyuarat Jawatankuasa ketiga untuk membuat penilaian keberkesanan program iaitu:-

* Berasaskan program pelanggaran disiplin klien (30 orang)
* Status pelanggaran disiplin keseluruhan pelajar
* Status suasana persekitaran dalam sekolah
* (Jika Perlu) – Pengubahsuaian modul ke arah lebih berkesan untuk pelaksanaan masa akan datang)






Kaunselor & Jawatankuasa Pelaksana


Kesemua langkah yang disebutkan di atas adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin pelajar. Kesemua langkah tersebut perlu dilakukan dengan bertahap supaya keberkesanannya terjamin. Manakala tatacara tindakan yang perlu dilakukan ialah:-

1. Menghubungi ibubapa/penjaga
2. Nasihat/kaunseling
3. Amaran
4. Rotan satu kali
5. Rotan dua kali
6. Rotan tiga kali
7. Rotan melebihi tiga kali
8. Digantung persekolahan
9. Ditukarkan ke sekolah lain
10. Dibuang sekolah
11. Melaporkan kepada Polis
12. Menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat

Untuk melaksanakan program ini Ahli Jawatankuasa Perlaksanaan perlu dibentuk. Ahli Jawatankuasa Pelaksana program tersebut adalah seperti berikut:-

Pengerusi - Pengetua
Ketua Operasi 1 - Penolong Kanan HEM
Setiausaha 1 - Kaunselor/Guru Disiplin
Ketua Operasi 2 - Penyelia Petang (jika ada)
Setiausaha 2 - Guru Disiplin
Ahli Jawatankuasa - 10 orang guru yang sedia bekerjasama sebagai fasilitator

o Guru Pendidikan Islam
o Guru Moral
o Lain-lain guru yang difikirkan perlu

Dalam menangani masalah ini, kelihatan bahawa terdapat semacam suatu lopang antara pihak polis, sekolah dan masyarakat. Pihak Polis pula mempunyai prosedur yang agak asing daripada prosedur sekolah. Ini disebabkan oleh keengganan pihak sekolah untuk bekersama mendedahkan akan kelemahan disipli sekolah masing-masing.

JABATAN POLIS

Menyertai kumpulan kongsi gelap merupakan satu kesalahan jenayah mengikut undang-undang negara di mana mereka yang terlibat secara serius dalam kumpulan seperti ini boleh didakwa di bawah Ordinan Darurat 5/69. Melalui undang-undang pencegahan ini pihak polis akan bertindak terhadap ahli kongsi gelap melalui peruntukan di dalam Seksyen 4(1) OD 5/69(Tahanan di Simpang Rengam) dan Seksyen 4a (1) OD 5/69(buang daerah). Bagi pelajar sekolah yang terlibat dengan kegiatan kongsi gelap pula boleh didakwa mengikut Akta Kanak-kanak Dan Orang Muda 1947 (semakan 1980) di mana mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Juvana bagi perbicaraan kes.Berdasarkan fakta-fakta di atas maka pihak polis melihat kegiatan ini dikalangan pelajar merupakan sesuatu yang amat serius yang memerlukan satu tindakan pencegahan yang dikendalikan oleh pihak polis dengan kerjasama pihak sekolah. Langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh pihak polis ialah:
a) Ceramah

Mengadakan siri ceramah ke sekolah-sekolah yang mempunyai potensi sebagai pusat
kegiatan kongsi gelap. Pelajar dan kakitangan sekolah diberi penerangan tentang
penubuhan, kegiatan, ciri-ciri dan kesan-kesan buruk menyertai kongsi gelap.

b) Program sekolah anak angkat
Seorang pegawai polis akan diletakkan pada sesebuah sekolah selaku bapa angkat sekolah tersebut. Pegawai tersebut akan mengawasi secara menyeluruh setiap aktiviti yang berjalan di sekolah tersebut serta memberi dan menerima maklum balas sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun melanggar undang-undang negara.

c) Lawatan ke sekolah.

Bapa angkat atau pun pihak polis akan mengadakan lawatan berjadual ke sekolah yang berisiko tinggi sebanyak empat hingga lima kali sebulan. Jika perlu pihak polis akan mengadakan lawatan secara mengejut ke sekolah terbabit bagi mengesan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan tindakan salah laku dan juga kongsi gelap.

d) Berhubung rapat dengan guru disiplin.

Pihak polis juga turut bekerjasama dengan guru disiplin sekolah bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti pelajar-pelajar yang disyaki ataupun didapati terlibat dengankegiatan kongsi gelap di sekolah mahu pun di luar sekolah.

e) Sesi kaunseling,

Seterusnya, pihak polis akan menyiasat serta mengenal pasti pelajar yang terlibat dan kemudian mengadakan sesi kaunseling kepada pelajar tersebut. Di sini pelajar terbabit akan diberi penerangan tentang bahaya dan kesan buruk yang akan dihadapi sekiranya terus terlibat dengan kegiatan kongsi gelap ini.

f) Perjumpaan dengan ibubapa

Bagi pelajar-pelajar yang terlibat pihak polis akan menghubungi ibubapa mereka bagi dimaklumkan tentang penglibatan anak mereka dengan kongsi gelap. Ibubapa akan diberi penerangan tentang implikasi kegiatan seperti itu dan meminta mereka membantu mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

g) Mengadakan "spot check" ke atas orang ramai di dalam dan luar sekolah.

Memandangkan kegiatan kongsi gelap yang berakar umbi di sekolah adalah berasal dari kongsi gelap di luar sekolah, maka adalah penting bagi pihak polis untuk mengawasi orang ramai yang berada di dalam dan di luar sekolah. Ini adalah bertujuan untuk menyekat sebarang cubaan pihak kongsi gelap terbabit daripada menghampiri atau menghubungi pelajar-pelajar sekolah tersebut.

h) Mendapat atau merekrut sumber di sekolah.

Bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat, adalah menjadi sebahagian daripada prosedur pihak polis untuk mendapatkan sumber maklumat melalui pengintipan dan penyamaran pegawai polis atau pun melalui ahli kumpulan kongsi gelap itu sendiri yang juga dikenali sebagai pemberi maklumat (informer).

i) Serbuan di tempat tumpuan pelajar sekolah.

Polis juga melakukan siri serbuan di tempat-tempat seperti pusat hiburan, pusat permainan video dan sebagainya bagi mengesan pelajar-pelajar serta individu-individu yang terlibat dengan kegiatan kongsi gelap. Mereka yang disyaki terlibat akan disoal siasat bagi mendapatkan maklumat berkaitan penglibatan dan kegiatan yang dilakukan oleh kumpulan mereka. Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi itulah pihak polis melakukan siasatan, penagkapan dan dakwaan kepada mereka yang terlibat.
Bagi pelajar yang disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap, mereka akan ditahan untuk siasatan selama 24 jam di balai polis. Penahanan ini akan dimaklumkan kepada pihak ibubapa dan sekolah. Hasil dari soal siasat sekiranya penglibatan pelajar tidak berada di dalam tahap yang serius maka pihak polis berdasarkan peruntukan undang-undang dan budi bicara mereka akan membebaskan pelajar terbabit tanpa sebarang tindakan (No further action). Namun, pelajar terbabit akan diletakkan di bawah pengawasan ibubapa sebagai penjamin bagi memastikan pelajar tersebut sentiasa berkelakuan baik. Tetapi sekiranya didapati terlibat secara serius dengan kegiatan kongsi gelap maka di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak Dan Orang Muda 1947 (semakan 1980) pelajar terbabit akan didakwa di Mahkamah Juvana dan jika sabit kesalahan akan dihantar ke Sekolah Pemulihan Akhlak Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka.

11.0 CADANGAN MENYELURUH PROSEDUR PENCEGAHAN KEGIATAN KONGSI GELAP DI SEKOLAH.

Merujuk kepada situasi perkembangan masa kini adalah penting bagi pihak sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa yang terlibat melaksanakan suatu program pencegahan yang bersepadu bagi menangani permasalahan ini. Selain daripada pelaksanaan yang telah disebutkan sebelum ini, maka wajarlah kita menyusun suatu prosedur keselamatan pencegahan kegiatan kongsi gelap yang lebih menyeluruh bagi memastikan ianya lebih berkesan dalam mengekang dan mengawal perkara ini. Jika dilihat perkembangan di Amerika Syarikat, mereka sedang pada tahap yang bersungguh-sungguh dalam membentuk suatu program bagi mewujudkan sekitaran sekolah yang selamat (safe school) bukan sahaja dari aspek kegiatan kumpulan-kumpulan haram tetapi juga dari aspek keganasan pelajar, masalah dadah dan sebagainya. Kita sewajarnya mencontohi sikap mereka yang lebih terbuka dalam menghadapi realiti permasalahan ini.

Di sini disarankan suatu prosedur keselamatan mencegah kegiatan kongsi gelap di kalangan pelajar di sekolah berasaskan beberapa program yang telah dijalankan di Amerika Syarikat.

11.1 Membina Gabungan Pelajar Yang Kukuh

o Membentuk suatu gabungan dikalangan pelajar untuk menghadapi dan menentang sebarang kegiatan kongsi gelap ataupun salah laku dengan melibatkan mereka di dalam menghasilkan, melaksanakan dan menilai pengendalian program.

11.2 Membentuk Satu Pelan Keselamatan Sekolah Yang Menyeluruh

o Pelan tersebut perlulah mendapat sokongan daripada pihak ibubapa, pelajar, pendidik, pihak berkuasa dan masyarakat umum.
o Pelan tersebut mestilah memfokuskan kepada keselamatan, pengawasan dan pembentukan program pendidikan yang menyeluruh.
o Bentuk satu pelan yang spesifik dan boleh diguna pakai bagi mencegah atau mengurangkan sebarang aktiviti jenayah dikalangan pelajar.

11.3 Keselamatan Kawasan Sekolah

o Meminimumkan pintu masuk dan keluar di kawasan sekolah di mana tempat-tempat tersebut hendaklah sentiasa diawasi.
o Pastikan pagar berada di dalam keadaan baik bagi memudahkan pengawasan pergerakan keluar masuk.
o Pelawat dikehendaki melaporkan diri ke Pejabat Pentadbiran.
o Kehadiran individu di kawasan dan di dalam bangunan sekolah hendaklah dikawal.
o Pemeriksaan secara rawak setiap pelajar bagi mengesan barangan yang mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap seperti dadah, senjata, dan sebagainya.


11.4 Melaksanakan Program Latihan Kepada Guru

o Memberikan latihan dalaman (in-house) dalam aspek perlakuan pelajar kepada guru dan pentadbir sekolah
o Guru perlu membina kemahiran dan teknik untuk mengawal perlakuan pelajar serta mengendalikan pelajar yang melakukan gangguan di sekolah.
o Pembinaan kemahiran dan latihan adalah perlu bagi memastikan keberkesanan proses pembelajaran, keselamatan diri serta pelajar lain.

o Program latihan termasuk :

1. kemahiran mengenal pasti pelajar berisiko dan kaunseling tidak formal untuk tindakan pencegahan.
2. mengenalpasti dan membanteras potensi tindakan radikal pelajar terlibat.
3. mengendalikan dengan selamat tindakan radikal yang timbul.

11.5 Menjalinkan Kerjasama Rapat Dengan Pihak Berkuasa

o Melaksanakan secara berterusan hubungan, latihan dan aktiviti bersama.
o Melaporkan secara terbuka sebarang aktiviti atau penglibatan pelajar dengan kegiatan kongsi gelap.

11.6 Melaksanakan Program Kaunseling Rakan Sebaya Di Sekolah

o Pelajar yang dilatih sebagai Pembimbing Rakan Sebaya boleh menjadi sumber ke arah penyelesaian masalah tidak berat (non-violent) dikalangan rakan pelajar yang bermasalah.

o Pelajar dilatih untuk menyelesaikan masalah ringan bagi mencegah permasalahan yang lebih besar.

11.7 Mendapatkan Kerjasama Dan Penglibatan Masyarakat

o Meminta kerjasama masyarakat sekitar untuk mengawasi, membantu dan melaporkan sebarang kegiatan, ancaman atau tingkah laku yang berkaitan dengan kongsi gelap dikalangan pelajar sekolah.
o Contoh-contoh program yang sudah dilaksanakan di Amerika ialah seperti

" Neighbourhood watch", "Parent Patrol", "Crimestoppers", and others.

11.8 Melatih Pelajar Untuk Lebih Bertanggungjawab Ke Atas Keselamatan Sendiri Dan Rakan Mereka

o Menggalakkan pelajar untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di sekitar sekolah.
o Menyediakan satu carta alir tindakan yang boleh diikuti pelajar bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman daripada kegiatan ahli kongsi gelap di dalam dan di luar sekolah.

11.8 Mengawasi Secara Dekat Pelajar Yang Di syaki Terlibat

o Mengawasi secara lebih berhati-hati pelajar yang ada terlibat dengan kegiatan salah laku atau jenayah di dalam dan di luar sekolah.
o Menyediakan kaunseling khas, sokongan dan merujuk kepada pihak yang berkenaan bagi membantu pelajar terlibat.
o Letakkan pelajar terbabit dengan guru yang berkebolehan untuk membentuk semula tingkah laku diri dan juga kesedaran pendidikan.

11.9 Pembentukan Satu Jawatankuasa Penasihat Keselamatan Sekolah.

o Ia membincangkan semua isu dan perkara yang berkaitan dengan keselamatan di sekolah.
o Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh:

1. Kakitangan sekolah
2. Pegawai Jabatan Pendidikan Daerah
3. Wakil Jabatan Polis
4. Wakil Persatuan IbubapaDan Guru (PIBG)

o Jawatankuasa ini hendaklah melakukan pertemuan yang kerap bagi mengenalpasti masalah utama, langkah pencegahan, langkah susulan, menggubal peraturan dan membendung salah laku yang berlaku di kalangan pelajar sekolah.



Kesemua di atas merupakan cadangan prosedur pencegahan kegiatan kongsi gelap di sekolah yang diharap dapat menjadi pelengkap kepada prosedur yang sedia ada. Ia merupakan rangkuman di antara peranan sekolah, ibubapa, pelajar, pihak berkuasa dan masyarakat.

12.0 KESIMPULAN

Laporan media yang menyatakan bahwa peningkatan penglibatan pelajar sekolah dengan kegiatan kongsi gelap perlulah diambil perhatian secara serius sekalipun mendapat penafian daripada beberapa pihak yang terlibat terutamanya pihak sekolah. Tindakan cuba menutup permasalahan ini (Ostrich Syndrome) daripada orang ramai tidak akan membantu menyelesaikan masalah tersebut malah akan menyebabkan perkara ini menjadi lebih sukar untuk ditangani. Maka adalah perlu bagi pihak terbabit berfikiran lebih terbuka dalam membincangkan isu ini agar suatu kaedah yang berkesan dapat dibentuk dan dilaksanakan bagi membendung masalah ini. Semua pihak perlu mengambil peranan termasuklah kerajaan, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa. Kerajaan boleh berperanan dengan menggubal undang-undang berkenaan penubuhan, kegiatan dan keahlian kongsi gelap agar ianya bukan sahaja dapat dibendung malah dihapuskan. Ini adalah kerana kewujudan kumpulan-kumpulan seperti inilah yang merangsang penglibatan pelajar sekolah dengan kumpulan terbabit.

Sekolah pula perlulah lebih terbuka dan tegas dalam menangani masalah ini agar imej sekolah sebagai agen sosial dapat terus dipelihara serta diperkukuhkan. Mereka perlulah mengutamakan kesejahteraan dan masa depan pelajar berbanding dengan usaha memelihara nama baik sekolah demi kepentingan sesetengah pihak. Keterbukaan sekolah dalam menangani permasalahan ini adalah perlu bagi menjadi nadi utama yang menggerakkan kerjasama di antara sekolah dengan masyarakat, pihak berkuasa dan ibubapa sendiri. Masyarakat boleh membantu dengan memberikan sokongan. pandangan serta tenaga dalam mengawasi dan membantu pelajar-pelajar yang terlibat. Kesimpulannya, suatu kajian dan usaha yang lebih serius perlu dilaksanakan bagi mengkaji secara jelas faktor-faktor penglibatan pelajar di dalam kegiatan kongsi gelap. Ini seterusnya dapat membantu pihak-pihak yang terlibat untuk merancang suatu program pencegahan dan pembanterasan yang lebih berkesan pada masa hadapan.



BIBLIOGRAFI

#Dr. Abd Rahim Abd Rashid, MASSA: Mampukah Sekolah Membanteras Jenayah, 8 Mac 1997, ms 56-58.

1. ______, MASSA: Kegiatan Kumpulan Haram Terkawal, 8 Feb. 1997, ms 31.
2. Nursalwati Ali, MASSA: Membanteras Samseng Kecil, 20 September 1997, ms 50-51.
3. Temubual : Ketua Inspektor Ridzwan, Kongsi Gelap, Cawangan Cegah Jenayah Dan Kongsi gelap, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, Johor, 3 Julai 1998, ms 1-3.
4. Mohd Tajudin Abdul Rrahman, Dewan Masyarakat: Salah Laku: Penyelesaiannya Bagaimana?, Ruangan Pendidikan, Mei 1995, ms 16.
5. Noor Azmah Ibrahim, Utusan Malaysia : Ibu Bapa Punca Pelajar Samseng, 18 Februari 1997.
6. ______, Berita Harian : Kongsi Gelap Sekolah Di Bantu Kumpulna Luar, 3 Februari 1997.
7. ______, Berita Harian : Jadi Ahli Untuk Dapat Perlindungan, 2 Februari 1997.
8. Samsor Junet, Utusan Malaysia : 560 Pelajar di Johor Terlibat Kongsi Gelap, 19 Februari 1997.
9. Samsor Junet, Utusan Malaysia : Kongsi Gelap: 26 Remaja Ditahan, 20 Februari 1997.
10. William Gladden Foundation. (1992). Juvenile gangs. York, PA: Author. Digest Number 99, July 1994, http://eric-web.tc.columbia.edu/digests/dig99.html,

25 July 1998, 12.30 am.
11. Walker, M., Schmidt, L., and Lunghofer, L. (1993). Youth Gangs, http;//coopext.cshe.wsu.edu/~sherfey/issue4c.htm, 24 July 1998, 10.15 am.

13. Bodinger-deUriarte, C. (1993). Membership in violent gangs fed by suspicion, deterred through respect. Los Alamitos, CA: Southwest Regional Educational Laboratory .http://eric-web.tc.columbia.edu/digests/dig99.html, 25 July 1998, 12.30 am.
14.Gaustad, J. (1991). Schools respond to gangs and violence. Eugene, OR: Oregon School Study Council..http://eric-web.tc.columbia.edu/digests/dig99.html, 25 July 1998, 12.30 am.

15. Schwartz W. (___), An Overview of strategies To reduce Schol Violence,

ERIC Clearinghouse On Urban Education,

http://ericweb.tc.columbia.edu/digests/dig115.html, 25 July 1998, 12.30 am.

16. ________, Program Integrasi Negeri Tangani Anti sosial (PINTAS), Sektor Pengurusan Dan Pembanunan Sumeber Manusia, Jabatan Pendidikan Negeri Johor

Komen Artikel

Komen Artikel oleh Aede Hatib Musta'amal (Januari 1999)Sumber asal: http://aede.tripod.com/HRD1.htm
Tajuk : Strategi Pembangunan Sumber Manusia Dalam Kemelut Ekonomi
Penulis : Professor Madya Dr. Zaini Ujang
Kolum : Ekonomi
Majalah : Dewan Masyarakat, April 1998.

Ulasan Isi Artikel
Dalam artikel ini, penulis cuba menyorot tentang isu yang melibatkan pembangunan sumber manusia di saat negara sedang mengalami kegawatan ekonomi. Kemelut ekonomi yang telah bermula sejak akhir tahun 1997 telah menyebabkan ribuan pekerja diberhentikan terutamanya daripada sektor pembinaan dan pengeluaran. Pakar ekonomi menjangkakan bahawa kegagalan untuk mengatasi masalah ekonomi negara secara berkesan akan membawa kepada dua implikasi guna tenaga iaitu:
? Peningkatan peratus pengangguran rakyat tempatan terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
? Kesukaran untuk menghantar pulang pekerja asing yang kehilangan pekerjaan akibat masalah ekonomi di negara masing-masing.

Bagi mengelakkan kerugian yang berterusan dan juga mengurangkan kos operasi, kebanyakan majikan di negara ini melakukan pemberhentian pekerja kerana ia melibatkan kos pampasan yang rendah dan tidak menghadapi banyak prosedur berbanding sekira ianya dilakukan di mana-mana negara maju. Oleh itu, Kementerian Sumber Manusia melalui Akta Pekerjaan 1995 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 akan bertindak mendakwa mana-mana majikan yang gagal mematuhi kedua-dua akta tersebut terutamanya daripada aspek tidak mematuhi syarat pemberian notis pemberhentian kerja, ganjaran pampasan dan pemberitahuan kepada pihak kementerian.
Penulis menyatakan bahawa usaha yang bersungguh-sungguh telah dilakukan oleh pihak Kesatuan sekerja untuk cuba meyakinkan pihak majikan agar tidak menjadikan pemberhentian pekerja sebagai alternatif untuk survival kerana ia memberi kesan negarif kepada usaha menstabilkan ekonomi dan politik negara oleh kerajaan. Namun begitu, ianya kurang mendapat perhatian daripada pihak majikan sendiri. Menurut penulis lagi, dari sudut pembangunan sumber manusia pekerja yang berkualiti adalah merupakan aset terpenting dalam organisasi kerana ia menyumbangkan competitive advantage yang menjadi penentu kepada faktor survival sesebuah organisasi itu. Oleh itu, layanan majikan daripada segi skema gaji ,ganjaran lain, kemudahan, suasana bekerja, kemudahan latihan dan pembangunan, peluang kerjaya dan sebagainya akan mempengaruhi kualiti dan iltizam para pekerja tersebut. Majikan yang tidak bersifat empatik akan mendorong kepada kewujudannya "sindrom berhenti" dikalangan pekerja di mana ini pastinya akan menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja terlibat untuk jangka masa yang panjang. Oleh itu, penulis berpandangan bahawa Dasar Penggajian Sepanjang Hayat (Lifelong Employment) yang diamalkan di Jepun wajar dijadikan contoh oleh para majikan di negara kita sebagai suatu iltizam terhadap pekerja mereka bagi menarik komitmen dan mengikat kesetiaan pekerja terhadap organisasi mereka.
Selain daripada itu, penulis turut menyarankan agar penilaian semula dilakukan terhadap strategi pembangunan sumber manusia terutamanya dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang sedang melanda ini. Salah satu aspek yang wajar diberi tumpuan ialah Latihan dan Pembangunan (L&P) iaitu suatu program yang mempunyai matlamat untuk menghasilkan warga organisasi yang berilmu, motivasi, inovatif dan produktif sekaligus mengurangkan masalah dan kerosakan produk atau perkhidmatan. Namun demikian, kebanyakan pemilik syarikat bukan multinasional akan menjadikan L&P sebagai satu daripada "sasaran" untuk mengurangkan kos operasi mereka. Ini adalah kerana mereka menganggap program L&P itu sebagai program mewah di waktu ekonomi baik atau sebagai wadah peningkatan kualiti pekerja yang malas dan tidak produktif sahaja. Penulis berpendapat bahawa ia merupakan suatu kesilapan besar yang pada asasnya daripada dua aspek berikut iaitu:
? Meremehkan peranan L&P
? Tidak menjadikan L&P sebagai strategi untuk menggemblengkan sumber manusiawi dalam sesebuah organisasi.

Syarikat-syarikat multinasional pula mempunyai reaksi yang berbeza di mana mereka dilihat lebih bersedia untuk membelanjakan jumlah wang yang tidak sedikit bagi menyusun L&P secara menyeluruh dalam syarikat mereka untuk mencapai matlamat Kecacatan Sifar (Zero Defect) yang menjadi strategi produktiviti mereka.
Seterusnya, penulis berasaskan fenomena ekonomi semasa telah mencadangkan beberapa perkara berkaitan program L&P iaitu:
? Program L&P dirangka supaya terangkum dalam strategi untuk membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.
? L&P turut memberi ruang kepada staf kategori eksekutif menghadirinya terutamanya program berkaitan pemantapan minda, pemupukan budaya kerja, atau penjernihan fikrah.
? Program L&P yang direkabentuk patut menumpukan aktiviti perancangan strategik yang boleh dilaksanakan seperti penyusunan semula organisasi, penilaian semula terhadap strategi masa, pemikiran semula terhadap matlamat organisasi dan seumpamanya.

Pada pandangan penulis, masalah ekonomi yang melanda patut dilihat sebagai peluang bagi sesebuah organisasi untuk mengenalpasti dan mempersiapkan diri dengan kekuatan serta strategi yang baru bagi menghadapi suasana dan cabaran masa hadapan.

Komen
Pandangan penulis wajar dilihat sebagai suatu yang positif dimana beliau menganggap permasalahan ekonomi semasa memberikan ruang kepada pihak pengurusan syarikat-syarikat untuk menilai semula dan memperbaiki matlamat serta halatuju organisasi mereka. Kemungkinan apa yang penulis cuba timbulkan iaitu isu pemberhentian pekerja agak kurang relevan sekiranya kita ingin mengaitkannya dengan situasi di Politeknik. Namun, kita wajar melihat secara lebih serius aspek yang diketengahkan oleh penulis berkaitan "sindrom berhenti" dan L&P di mana ianya berkemungkinan boleh dimanfaatkan di Politeknik.
"Sindrom berhenti" yang berpunca daripada layanan yang kurang memuaskan oleh majikan terhadap pekerjanya dari aspek tangga gaji, faedah perkhidmatan, peluang kerjaya dan sebagainya turut boleh terjadi di Politeknik kerana ia merupakan suatu permasalahan yang universal. Apa yang berbeza ialah penurunan prestasi kerja dan produktiviti kakitangan Politeknik akan memberi kesan serta menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, adalah wajar bagi pihak pengurusan politeknik untuk memberikan dan mengendalikan sebaik mungkin keperluan-keperluan kakitangan mereka bersesuaian dengan peruntukan yang dibenarkan oleh kerajaan. Pengurusan Politeknik perlulah mengkaji dan menilai semula mekanisme sedia ada agar ianya mampu menerima dan rmemberi respon secara berkesan segala bentuk tuntutan serta keperluan yang dikemukakan oleh kakitangan politeknik. Aspek ini sekiranya dilaksanakan secara bersungguh-sungguh berupaya mengukuhkan komitmen dan kesetiaan kakitangan untuk kekal berkhidmat di dalam organisasi Politeknik.
Manakala L&P pula merupakan suatu elemen penting yang boleh diterapkan di dalam operasi dan pengurusan politeknik bagi membentuk satu kumpulan kakitangan yang berkualiti serta produktif. L&P yang dilaksanakan mampu untuk mempertingkatkan minda, skil dan tabiat kakitangan Politeknik terhadap tugas mereka. Ini pastinya akan memperbaiki kualiti dan budaya kerja di kalangan kakitangan Politeknik dalam usaha untuk melahirkan produk (lulusan) yang kompeten serta berketrampilan. Perkara ini memerlukan penglibatan yang konsisten oleh semua pihak agar program L&P yang dilaksanakan berupaya menjana pemikiran kakitangan ke arah pemikiran semula matlamat Politeknik dan penilaian semula strategi semasa yang digunakan. Hasil daripada pelaksanaan ini ialah diharap akan terhasillah Politeknik yang organisasinya tersusun, kompetitif dan mendapat pengiktirafan masyarakat keseluruhannya..

Kesimpulan
Berdasarkan isu yang telah diperbincangkan, maka dapatlah kita lihat bahawa strategi pembangunan sumber manusia yang berkesan adalah merupakan elemen yang penting bagi sesebuah organisasi. Pekerja dilihat sebagai aset yang terpenting dalam sesebuah organisasi di mana kualiti dan iltizam mereka akan banyak mempengaruhi kebolehan organisasi tersebut untuk bertahan serta bersaing. Oleh itu, pembangunan sumber manusia hendaklah dilaksanakan secara serius dan konsisten bagi menjamin kualiti dan produktiviti sesebuah organisasi yang berorientasikan pembuatan atau pun perkhidmatan.

ULASAN RENCANA ISU PENDIDIKAN : "Membanteras Samseng Kecil"

ULASAN RENCANA ISU PENDIDIKAN

"Membanteras Samseng Kecil"

Oleh Nursalwati Ali

Pengulas: Aede Hatib B. Musta'amal, Januari 1999

Sinopsis Artikel

Artikel ini telah diterbitkan di dalam Majalah Massa pada keluaran 20 September 1997. Penulis cuba membangkitkan isu keganasan di kalangan pelajar sekolah seperti peras ugut, mencederakan dan membunuh yang kini bukan sahaja melanda di kalangan pelajar sekolah menengah malah turut melibatkan pelajar sekolah rendah. Masyarakat mula menimbulkan isu berkaitan peranan dan cabaran profesion perguruan dalam menghadapi situasi tersebut. Selain daripada itu, perbincangan turut menyentuh peranan yang wajar diambil oleh ibubapa, guru, sekolah, kerajaan, swasta dan juga masyarakat dalam menangani permasalahan ini.

Ulasan

Penulis melihat penglibatan pelajar sekolah dengan aktiviti-aktiviti salah laku jenayah terutamanya budaya samseng adalah pada tahap yang serius. Dalam artikelnya, penulis menyorot kembali kes kematian Masidah Suria Che Pa, 7, yang amat menggemparkan seluruh masyarakat di mana ia berpunca dari tindakan seorang pelajar perempuan yang baru berumur 10 tahun sahaja. Apatah lagi kejadian tersebut dilihat oleh banyak pihak mempunyai unsur paksaan dan peras ugut oleh seorang kanak-kanak perempuan ke atas rakannya yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan suatu keadaan di mana para pelajar sekolah sekalipun pada usia yang muda telah telah mula melibatkan diri dengan aktiviti jenayah seperti peras ugut, memukul, sehinggalah kepada membunuh. Dalam kejadian yang berasingan pula 10 orang pelajar ditahan kerana disyaki terlibat menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan 2 iaitu Mohd. Zulkarnain Rahim dari Sekolah Menengah Abdul Rahman Yasin (SDARY) Tampoi, Johor Bahru (Berita Harian, 19 Februari 1997). Sekiranya kita mengikuti perkembangan mutakhir, maka laporan media massa menunjukkan bahawa kegiatan jenayah di kalangan pelajar sekolah seperti pecah rumah, peras ugut, membuli, bergaduh, menganggotai kongsi gelap dan sebagainya semakin berleluasa serta amat membimbangkan. Satu laporan akhbar juga telah menyebut bahawa seorang pelajar tingkatan tiga sekolah menengah cedera apabila dikatakan diserang dua pelajar lain kerana enggan menyerahkan wang RM1 di luar sekolah mereka (Berita Harian, 20 Februari 1997). Manakala di Johor Bahru seramai 187 orang pelajar dari 13 buah sekolah menengah di daerah itu didapati terlibat secara langsung dengan 13 kumpulan kongsi gelap yang aktif (Utusan Malaysia, 20 Februari 1997).
Fenomena ini amat bertentangan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara yang antara lain berhasrat untuk melahirkan insan tulen yang benar-benar berkualiti dan berguna untuk perkembangan dan kemajuan Malaysia. Ini ditegaskan oleh Muhd Mansur Abdullah (1986) yang berpandangan bahawa:
"Adalah menjadi hasrat kerajaan menjadikan matlamat pendidikan di negara ini bagi melahirkan individu-individu yang berdisiplin. Dengan harapan agar akan mewujudkan satu masyarakat yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif. Tetapi yang nyata disiplin itu sendiri sudah berani dilanggar oleh murid-murid sekarang. Mereka seolah-olah mencabar dasar pelajaran mereka sendiri."

Kecemerlangan peribadi dan keunggulan sahsiah adalah penting kerana sejarah menunjukkan bahawa negara akan punah dan peradaban akan musnah sekiranya warganegaranya tidak beretika, berjiwa gersang, buruk akhlak dan tidak bermoral. Ini selari dengan pendapat Mohd. Tajudin Abdul Rahman (1995) yang mengatakan bahawa sekiranya gejala salah laku ini tidak diatasi dan berterusan, negara berkemungkinan akan menghadapi risiko yang besar. Sememangnya masyarakat yang berdisiplin merupakan satu aset yang amat penting dalam membantu merangsang pembangunan bangsa dan negara
Penulis juga turut menyentuh sudut profesion perguruan pada masa kini dalam menghadapi permasalahan salah laku jenayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Penulis memetik pandangan seorang bekas guru, Ali Shafie, yang menyatakan bahawa guru pada masa kini lebih cenderung melihat profesion perguruan dari aspek nilai komersil berbanding dengan guru dahulu yang bersifat qanaah dan menjalankan tugas atas dokongan semangat kebangsaan yang mahu melihat anak-anak bangsa berjaya. Sesungguhnya fenomena sebegini adalah tidak wajar sekiranya merujuk pandangan Dr Abdul Halim El-Muhammady (1985) yang menegaskan bahawa guru perlulah menjalankan tanggungjawab mereka bukan atas dasar kebendaan atau penghormatan masyarakat. Menurut beliau lagi guru boleh menerima ganjaran daripada usaha mereka, tetapi janganlah kebendaan itu diletakkan sebagai kemuncak matlamat kerja.
Sikap guru yang membuat pengukuran pencapaian berdasarkan kebendaan itu akan menjejaskan peningkatan mereka dan pencapaian anak didik mereka. Ini seterusnya akan menjadi penyumbang kepada kegagalan pihak guru serta sekolah untuk berfungsi secara efisien sebagai pembentuk akhlak dan moral yang tinggi terhadap pelajar mereka. Dalam hal ini Abd Rahim Abd Rashid (1997) telah menyebutkan beberapa aspek yang menjadi faktor kegagalan pihak guru memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pembentuk akhlak dan moral di kalangan pelajar mereka dimana antaranya ialah hubungan interpersonal yang renggang, guru yang kurang bermotivasi dan berdedikasi, perasaan tidak puas hati yang tinggi terhadap sekolah, hubungan guru dan murid yang tidak harmoni, dan juga sikap kurang keprihatinan yang ditunjukkan oleh guru-guru terhadap masalah murid mereka. Sewajarnyalah guru sebagai agen sosialisasi di dalam sekolah yang berorganisasi menjalankan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik (Mok Soon Sang, 1996).
Pengaruh kegiatan kongsi gelap yang semakin meningkat turut cuba diketengahkan oleh penulis dengan mengutarakan laporan yang menyatakan tentang terdapatnya tiga kumpulan kongsi gelap di Melaka sedang giat mencari anggota baru dengan sasaran utama terdiri daripada golongan pelajar. Menurut perangkaan pihak polis, di Negeri Johor sahaja terdapat 560 orang pelajar sekolah menengah yang dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap (Utusan Malaysia, 19 Februari 1997). Sebarang bentuk aktiviti salah laku atau jenayah di persekitaran sekolah pastinya akan menjejaskan iklim masyarakat persekolahan dan pendidikan sekiranya ia terus merebak dan tidak terkawal. Ini adalah kerana sebarang usaha untuk mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan akan terganggu kerana mereka terpaksa merentangi persoalan-persoalan yang adakalanya bukan sahaja menuntut kemampuan tenaga dan minda, malah turut melibatkan perbelanjaan yang agak besar demi melaksanakan program-program yang sewajarnya.
Berdasarkan laporan Disorder in Our public School yang dikeluarkan oleh United States Department Of Education dalam tahun 1994, didapati para guru telah menggunakan 30% sehingga 80% daripada masa bertugas mereka bagi perkara yang berkaitan disiplin (Maginis, 1995). Ini menunjukkan bahawa masa produktif guru yang sepatutnya ditumpukan kepada proses pengajaran dan pembelajaran telah berkurangan. Situasi ini pastinya akan menjejaskan kelancaran operasi sekolah dan seterusnya memberikan kesan buruk kepada prestasi guru serta pelajar sekolah terlibat. Selain daripada itu, keselamatan guru turut terancam manakala harta benda sekolah juga banyak yang menjadi sasaran tindakan salah laku memusnah (vandalisme). Ini jelas dinyatakan dalam satu kajian yang lain di United States dimana didapati lebih daripada 100,000 orang guru telah diancam secara fizikal, dan setiap bulan dianggarkan 5,200 orang guru telah diserang secara fizikal. Vandalisme adalah perkara biasa bagi 25% sekolah yang telah diselidik dan ia melibatkan kos sebanyak US$200 juta setahun (Rossman & Morley, 1996).
Kehadiran kumpulan seperti samseng dan kongsi gelap boleh mencetuskan persekitaran yang tegang kepada sekolah.kerana wujudnya perasaan bimbang dikalangan guru mahu pun pelajar terhadap risiko diancam atau pun dicederakan oleh kumpulan terbabit. Pandangan ini turut dikongsi oleh Trump (1993) yang menyatakan bahawa "Students in schools with gang presence are twice as likely to report that they fear becoming victims of violence than their peers at schools without gangs". Ini adalah ekoran aktiviti jenayah dan tindakan agresif para pelajar yang menjadi ahli kumpulan samseng terhadap rakan serta guru mereka. Berdasarkan laporan Disorder in Our Public Schools juga, mendapati bahawa tiga juta pelajar sekolah menjadi mangsa jenayah di sekolah setiap bulan di mana nisbah empat daripada sepuluh pelajar sekolah tinggi telah menjadi mangsa pada tahun sebelumnya (Maginis, 1995). Ini menggambarkan betapa seriusnya kesan negatif yang dibawa oleh kumpulan seperti ini ke atas sekolah selaku pusat pengembangan pendidikan dan moral kepada masyarakat.
Dalam aspek lain pula, penulis ada membincangkan tentang peranan serta penglibatan badan-badan kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat di dalam menangani permasalahan gejala negatif di kalangan remaja termasuklah pelajar sekolah. Ini seiring dengan kenyataan. Menteri Besar Johor yang telah menegaskan bahawa tanggungjawab menangani masalah ini (penyalahgunaan dadah dan kongsi gelap) tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaaan dan badan-badan tertentu sahaja (Utusan Malaysia, 20 Februari 1997). Penulis turut mengutarakan salah satu resolusi yang telah dibentangkan dalam Konvensyen UMNO Negeri Sembilan di mana agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis disarankan agar membentuk kerjasama dalam menangani masalah kegiatan samseng di sekolah. Manakala Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Pahang pula telah menjalankan kerjasama dengan polis dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan motivasi kepada remaja yang terlibat dengan gejala sosial termasuk samseng dan perlumbaan haram (Berita Harian, 20 Februari 1997). Semua komponen institusi masyarakat perlulah mengambil peranan dalam membendung aktiviti negatif di dalam masyarakat terutamanya di kalangan remaja. Pandangan ini selaras dengan kenyataan Mohd Zain Abd Kadir yang mengatakan bahawa:
"Sistem sosial masyarakat juga perlu diberi perhatian agar ia benar-benar memainkan peranan dalam membendung kegiatan kurang sihat serta jenayah terutamanya di kalangan remaja." (Utusan Malaysia, 18 Februari 1997).

Muhd Mansur Abdullah (1986) juga mempunyai pendapat yang sama tetapi pada nada yang lebih tegas apabila menyatakan bahawa sebagai suatu ancaman kepada negara, maka masalah disiplin di kalangan anak-anak muda baik di sekolah atau di rumahnya adalah menjadi isu serius yang meminta semua pihak yang bertanggungjawab bekerjasama mengatasinya. Oleh itu, adalah penting bagi semua lapisan masyarakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk bersama-sama memainkan peranan dalam merancang, menyusun dan melaksanakan program-program yang dapat membantu negara menangani dan seterusnya membasmi gejala tidak sihat di kalangan remaja terutamanya para pelajar sekolah.
Masalah pihak sekolah yang dipercayai sering cuba menyembunyikan kegiatan jenayah di kalangan pelajar juga mendapat perhatian penulis. Pengetua atau guru besar telah diberi amaran oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Fong Chan bahawa mereka akan dikenakan tindakan disiplin sekiranya berbuat demikian. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Siva Subramaniam berkata bahawa banyak kes pelajar terbabit dengan perlanggaran disiplin, termasuk menyertai kongsi gelap yang tidak dikemukakan kepada Pengarah pendidikan daerah atau polis (Berita Harian, 3 Februari 1997). Suatu perkara yang penting bagi sekolah untuk mempunyai mekanisme pengawalan sosial yang berkesan bagi membolehkan ia berupaya mengawal gejala-gejala buruk dan membanteras kes jenayah yang melibatkan murid di sekolah. Dengan itu peranan sekolah sebagai ejen pengawalan sosial perlu dilakukan dengan lebih komited demi memelihara kredibiliti institusi sekolah itu sendiri.
Sebarang usaha untuk menyembunyikan permasalahan ini akan hanya memburukkan lagi keadaan. Taylor (1988) berpendapat bahawa pentadbir yang bersikap sedemikian mengalami Ostrich Syndrome di mana mereka menjadi defensif dan tidak menghiraukan permasalahan serius di sekolah mereka. Lal (1991) turut berpendapat bahawa dengan menafikan situasi negatif pihak pentadbir sekolah yang terlibat akan memburukkan lagi keadaan. Sikap tegas pihak sekolah adalah penting bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah di kalangan pelajar yang boleh mengancam keselamatan pelajar lain, kakitangan dan juga harta benda sekolah. Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa terdapat peningkatan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Oleh itu, reaksi positif sekolah dalam berhadapan dengan permasalahan ini akan dapat mengekalkan sekolah sebagai tempat yang selamat. Seterusnya, ia akan meningkatkan lagi kredibiliti, imej serta kewibawaan guru, kakitangan dan pelajar sekolah terlibat di mata masyarakat sekitar.
Kementerian Pendidikan selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap program pendidikan negara telah mengusulkan beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah sosial yang semakin parah di kalangan pelajar sekolah. Dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia, usaha untuk membanteras salah laku merupakan salah satu agenda bertindak yang disusun dalam program-program Wawasan Pendidikan yang dilancarkan pada 9 April 1993 yang lalu, iaitu sepuluh perkara digariskan sebagai strategi pengisian Wawasan Pendidikan negara, iaitu perpaduan, gaya pengurusan, kepimpinan, perkhidmatan penyayang, pengupayaan, sistem pengesanan, budaya ilmu, sekolah penyayang, dan budaya kecemerlangan (Mohd Tajudin Abd Rahman, 1995). Selain daripada itu terdapat juga cadangan-cadangan lain seperti mewajibkan setiap pelajar menjadi ahli pasukan beruniform, menggunakan konsep rakan sebaya sebagai pembimbing dan memberikan kuasa polis kepada guru disiplin. Pemberian kuasa polis kepada guru disiplin adalah wajar kerana murid-murid yang nakal dan suka melanggar disiplin dalam keadaan tertentu berani mencabar kewibawaan guru yang tidak mereka sukai. Kelemahan yang jelas di sekolah yang menjadi punca kemerosotan disiplin dan bermulanya gejala buruk berkembang di kalangan murid di sekolah ialah guru-guru tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin (Abd Rahim Abd Rashid, 1997). Keadaan ini jugalah yang menjadi punca sebahagian besar guru-guru mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin yang dilakukan oleh murid-murid samada di dalam mahu pun di luar sekolah.

Kesimpulan

Berdasarkan artikel dan ulasan yang telah dihuraikan, dapatlah dilihat bagaimana masyarakat kita sedang menghadapi suatu situasi yang kritikal berhubung masalah perilaku jenayah termasuklah budaya samseng di kalangan pelajar sekolah sekalipun pada usia yang masih muda. Fenomena ini mungkin salah satunya disebabkan oleh sogokan daripada filem-filem dan rancangan TV dari barat yang banyak menunjukkan keganasan, kehendak moral yang bercanggah dengan budaya di rantau ini di mana ianya mudah menyerap dan menular dalam hati sanubari anak-anak muda kita (Muhd Mansur Abdullah, 1986). Dalam hal ini guru-guru menghadapi cabaran dan tanggungjawab yang besar bagi membendung gejala yang tidak sihat ini. Guru-guru perlu turut sama berganding bahu mencari jalan penyelesaian di samping melaksanakan tindakan-tindakan yang boleh membantu dalam mengatasi gejala negatif di kalangan pelajar mereka. Penglibatan guru dalam pendidikan adalah menyeluruh; bimbingan dari segi keilmuan, fizikal, kerohanian dan moral (Abdul Halim El-Muhammady, 1985). Maka, sikap berlepas tangan di dalam perkara masalah disiplin ini merupakan suatu pengabaian oleh guru-guru yang terlibat terhadap profesion perguruan yang mereka ceburi.
Dalam hal pengaruh kegiatan negatif seperti samseng, kongsi gelap, samun, pecah rumah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah, perlulah ditangani bersama-sama oleh semua pihak termasuklah badan kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat keseluruhannya. Semua pihak perlulah bersikap lebih terbuka dalam mengakui hakikat akan wujudnya masalah begini di dalam masyarakat kita. Perbuatan menyembunyikan permasalahan ini merupakan perkiraan yang silap kerana ianya akan hanya menjadikan perkara ini menjadi lebih serius dan parah. Sekolah dan sistem pendidikan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan nilai-nilai hidup dan norma yang baik di kalangan generasi yang akan datang. Keseluruhan matlamat pendidikan dan sekolah perlu berperanan sebagai moral enterprise di mana pendidikan berperanan untuk membina tingkah laku, mencorakkan perkembangan personaliti, menanamkan kesedaran sosial dan moral dengan memupuk asas-asas kemoralan dan menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan dan sosial (Abd Rahim Abd Rashid, 1997).


Bibliografi
? Ahmad Fauzi Mustafa; Ismail Mat. Kongsi Gelap, Dadah: 44 Pelajar Di Tahan. Berita Harian. Keluaran 19 Februari 1997.
? Samsor Junet. 560 Pelajar Di Johor Terlibat Kongsi Gelap. Utusan Malaysia. Keluaran 19 Februari 1997.
? Noor Azmah Ibrahim. Ibubapa Punca pelajar Samseng. Utusan Malaysia. Keluaran 18 Februari 1997.
? Pelajar Diserang Kerana Enggan Beri RM1. Berita Harian. Keluaran 20 Februari 1997.
? Kongsi Gelap: 26 remaja Ditahan. Utusan Malaysia. Keluaran 20 Februari 1997.
? Mohd. Tajudin Abdul Rahman. Salah Laku: Penyelesaiannya Bagaimana?. Dewan Masyarakat. Keluaran Bulan Mei 1995.
? Maginis, R (1995), Violence in The School House: A Ten Year Update. Sumber: http://www.townhall.com/townhall/spotlights/9-11-95/is94e5cr.html.
? Rossman, S; Morley, E. (1996). Education and Urban Society, di dalam School Safety: What's Being Done and Where Is It Going?, Penulis:Black, E; DeBerjois, J; Lane, P, University of North Carolina, Sumber: http://www.unc.edu.home/afhood/paper.html
? Trump (1993), Trump, K. S. (1993). Youth gangs and schools. Cleveland: Urban Child Research Center, di dalam Gangs in School. Penulis:Burnett, G; Walz, G, ERIC Clearinghouse, Sumber: http://eric-eb.tc.columbia.edit /digests /dig99.html
? Lal, S.R. (1991) A study of strategies employed by junior high school administrators to overcome disruptive gang related activities. Unpublished doctoral dissertation, University of California, Los Angeles. di dalam Developing A Gang Prevention Program. Sumber:http://eric-web.tc.columbia. edu/monographs/ uds107_prevention.html
? Taylor, C.S (1988), Youth Gangs Organize Quest For Power, Money. National School Safety Center News Journal. Malibu, CA: Pepperdine University Press. di dalam Developing A Gang Prevention Program, Sumber:http://eric-web.tc.columbia. edu/monographs/ uds107_prevention.html
? Lal, S.R. (1991) A study of strategies employed by junior high school administrators to overcome disruptive gang related activities. Unpublished doctoral dissertation, University of California, Los Angeles. di dalam Developing A Gang Prevention Program. Sumber:http://eric-web.tc.columbia. edu/monographs/ uds107_prevention.html
? Gaustad, J (1991), Schools Respond To Gangs And Violence, Eugene, OR: Oregon school study council, Sumber: http://eric-eb.tc.columbia.edit /digests /dig99.html
? Abdul Halim El-Muhammady (1985). Peranan Guru Dalam Pendidikan Islam. Di dalam Jurnal Pendidikan Islam Keluaran Tahun 1 Bilangan 4 Disember 1986. Kuala Lumpur: Biro Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
? Abd Rahim Abd Rashid (1997). Mampukah Sekolah Membanteras Jenayah?. Ruangan Pendidikan, Majalah Massa Keluaran 8 Mac 1997.
? Mok Soon Sang (1996). Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
? Muhd Mansur Abdullah (1986).
? Ramai Pengetua Sembunyi Jenayah Di Sekolah. Berita Harian. Keluaran 3 Februari 1997.

PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL (PTV) DALAM PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA DI MALAYSIA

PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL (PTV) DALAM PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA DI MALAYSIA

Oleh Aede Hatib Bin Musta'amal
Jan 1999
(sumber asal:http://aede.tripod.com/HRD2.htm)
Pengenalan

Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan matlamat negara untuk mencapai taraf sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020. Perkara ini telah diwar-warkan oleh beliau dalam salah satu daripada kertas kerjanya yang bertajuk "Malaysia: Melangkah Ke Hadapan (Wawasan 2020)" yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pertama Majlis Perniagaan Malaysia pada tahun 1991 yang lalu. Wawasan tersebut secara tidak langsung telah meletakkan sasaran negara untuk menjadikan perindustrian sebagai teras kepada pembangunan negara.
Berdasarkan kenyataan di atas, dapatlah kita lihat betapa pentingnya keperluan sumber manusia di mana ia dengan sendirinya merupakan cabaran yang besar kepada latihan teknik dan vokasional. Ini adalah selari dengan pandangan Siti dan Nor Azizah (1995) iaitu "Pendidikan vokasional semakin penting dalam era pembangunan ekonomi dan sosial negara. Di mana-mana negara yang sedang pesat membangun keperluan tenaga profesional dan separa profesional amat diperlukan bagi menentukan kesinambungan pembangunan negara. Mereka adalah teras pembangunan."
Pertumbuhan di dalam ekonomi dan industri Malaysia adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk mempertahankan kadar produktiviti yang tinggi dan daya saingan di arena antarabangsa. Daya saingan dan produktiviti industri pula bergantung pula kepada adanya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan dan bermotivasi tinggi. Rakyat adalah sumber utama kita. Tanpa ragu-ragu pada tahun-tahun 1990an dan seterusnya, Malaysia mestilah memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada pembangunan sumber yang amat penting ini (Mahathir, 1991). Strategi pembangunan ini menegaskan penyesuaian sistem pendidikan untuk menghasilkan sumber tenaga yang diperlukan. Penegasan ini adalah jelas dinyatakan dalam pernyataan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua sebagaimana berikut:
"Perhatian yang lebih akan diberi dalam mempastikan sistem pendidikan selaras dengan perubahan permintaan dan pasaran buruh. Kawalan yang lebih rapi terhadap sistem pendidikan dan latihan serta usaha-usaha bagi memperbaiki lagi kurikulum akan dilaksanakan untuk mempastikan kemahiran yang diajar adalah sesuai dengan keperluan industri." (RRJP2, 1991).
Kertas ini akan cuba membincangkan sejarah perkembangan sistem pendidikan teknik dan vokasional sehinggalah ke hari ini, peranannya dalam membangunkan sumber manusia, sistem pendidikan teknik dan vokasional semasa, cabaran-cabaran yang dihadapi dan juga cadangan-cadangan bagi memperbaikinya. Hasil daripada penulisan ini diharap dapat melihat sejauhmana peranan sistem pendidikan teknik dan vokasional dalam membangunkan sumber manusia bagi memenuhi keperluan guna tenaga negara.

Sejarah Perkembangan Sistem PTV Di Malaysia

Detik awal kewujudan pendidikan awam bercorak vokasional di Malaysia ialah dengan penubuhannya Trade School (Sekolah Perdagangan) bagi tujuan pendidikan pertukangan pada tahun 1926 di Kuala Lumpur. Selepas Trade School ini mendapat sambutan yang baik, sekolah di kembangkan ke Ipoh pada 1930, Johor Bharu pada 1931 dan Pulau Pinang pada 1932 ( Zakaria,1988). Sekolah ini pada asasnya mengajarkan asas pertukangan, baikpulih mesin, pendawaian elektrik dan pembinaan bangunan. Jangkamasa kursus yang ditawarkan pula adalah selama tiga tahun (Kementerian Pendidikan, 1975)
Walaupun Trade School ini memberikan pelajar latihan yang mencukupi sebagai seorang pekerja separa mahir tetapi lulusan sekolah ini tidak mendapat tempat dalam pasaran buruh. Khususnya dalam industri yang dikuasai kaum Cina. Kebanyakan lepasan sekolah ini akan bekerja dalam syarikat pemerintah atau syarikat-syarikat milik barat (Koh, 1967).
Semasa Perang Dunia Kedua, sistem persekolahan di Malaysia menghadapi zaman kegelapannya. Apabila perang tamat, pemerintah British mengubah Trade School kepada Junior Technical Trade School (Kementerian Pendidikan, 1975). Sistem sekolah baru ini memperkenalkan bahawa untuk memasuki sekolah ini pelajar perlu menamatkan sekurang-kurangnya Darjah Lima Sekolah Melayu dan Darjah Tujuh Sekolah Inggeris. Daripada sudut kursus yang dijalankan tidak banyak berlaku perubahan ( Zakaria, 1988). Pada tahun 1956 selepas dicadangkan oleh Laporan Razak, Institut Teknik ditubuhkan bagi meneruskan sistem persekolahan ini. Sistem lama masih diteruskan (Kementerian Pendidikan, 1975). Barangkali, inilah titik tolak kepada pendidikan teknik moden negara.
Pada tahun 1960 pula, syarat kemasukkan ke Junior Technical Trade Shcool telah ditingkatkan dimana pelajar diminta menamatkan pendidikan sekolah rendah selama 9 tahun terlebih dahulu ( Kementerian Pendidikan 1975). Di samping itu juga beberapa sekolah tambahan untuk orang Melayu telah ditubuhkan. Sekolah ini diwujudkan di kawasan pendalaman. Sekolah ini pada asasnya mempunyai sistem dan menawarkan kursus yang hampir sama dengan Trade School (Kementerian Pendidikan, 1975). Oleh itu bolehlah dianggap bahawa ketiga jenis sekolah ini adalah asas kepada pendidikan vokasional negara. Namun kelainan sekolah ini adalah penambahan kursus pertanian seperti perladangan dan penternakan. Pada tahun 1959, bilangan sekolah ini yang dinamakan Sekolah Tambahan Pendalaman telah mencapai 14 buah sekolah. Jumlah pelajarnya pula mencecah 1200 orang (TAVED,1993).
Perkembangan sistem persekolahan ini menyebabkan pada awal tahun enam puluhan , pendidikan vokasional terbahagi kepada dua bentuk, iaitu;
a. Sekolah Pendalaman Tambahan, untuk lepasan sekolah rendah. (selepas enam tahun persekolahan )
b. Sekolah Menengah, untuk lepasan sekolah menengah rendah (selepas embilan tahun persekolahan), dan juga sebahagian lepasan Sekolah Pendalam Tambahan.

Pada tahun 1960 (Laporan Rahman Talib), peperiksaan untuk memasuki sekolah menengah rendah telah dimansuhkan. Peperiksaan ini dikenali sebagai Peperiksaan Kemasukkan Sekolah Menengah Malaya (MSSEE- Malayan Secondary Shcool Entrance Examination) ( Kem. Pendidikan, 1993). Kesan pemansuhan ini adalah peningkatan permintaan persekolahan untuk anak-anak daripada ibu-bapa. Satu lagi kesan daripada pemansuhan ini adalah cadangan penambahan pendidikan teknik dan vokasional di peringkat menengah (Laporan Rahman Talib, 1960). Akhirnya pada 1965, pendidikan komprehensif diperkenalkan. Di mana semua pelajar akan mendapat pendidikan am dan diberikan juga penekanan vokasional perindustrian, perdagangan, pertanian atau sains rumah tangga (Kementerian Pendidikan, 1990).
Peningkatan pelajar dalam persekolahan menengah berlaku dengan cepat pada tahun enam puluhan. Ini telah membebankan sistem persekolahan menengah. Justeru itu dalam Rancangan Malaysia Pertama suatu dasar yang cuba untuk mempersiapkan tenaga kerja telah digariskan. Di mana pelajar yang tamat persekolahan menengah akan menceburi dunia pekerjaan. Oleh itu pada tahun 1967, Sekolah Menengah Vokasional telah menggantikan Trade School dan Sekolah Tambahan Pendalaman (Kem.Pendidikan, 1975).
Menurut sistem ini pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bolehlah memohon memasuki Sekolah Vokasional. Pelajar ini akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) pada akhir dua tahun pengajian mereka. Pendidikan vokasional ini berterusan sehinggalah pada tahun 1995. Di mana ia digabungkan dengan sekolah teknik dan memakai nama Sekolah Teknik dan Vokasional.
Pada akhir tahun 1992, pendidikan teknik dan vokasional ini telah pun berkembang pesat. Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, terdapat hampir 70 buah sekolah teknik dan vokasional yang mampu menampung 46,980 orang. Walaupun jumlah ini amat jauh jika dibandingkan dengan negara-negara maju namun ia merupakan suatu permulaan yang dikira amat memberansangkan. (Berita Harian, Disember 1992).


Peranan PTV Dalam Pembangunan Sumber Manusia Di Malaysia

Perkembangan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang telah berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak tahun 1988, iaitu melebihi 7.5 peratus setahun telah memberi kesan tolakan besar ke atas permintaan tenaga manusia khususnya terhadap tenaga kerja profesional, mahir dan separa mahir (Rahmah & Ishak, 1995). Ini sememangnya memberikan cabaran yang besar kepada sistem pendidikan negara terutamanya pendidikan teknik dan vokasional dalam membekalkan tenaga kerja yang berkebolehan serta mahir. Ini disokong oleh Rancangan Malaysia ke Enam (1991-1995) Fasa Pertama yang telah menempatkan pembangunan guna tenaga manusia sebagai penekanan utama dan dasar yang strategik untuk meningkatkan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian (Siti & Nor Azizah, 1995). Memandangkan tumpuan pembangunan negara adalah lebih ke arah perindustrian dan pembuatan, maka adalah perlu bagi pendidikan teknik dan vokasional menyediakan suatu bentuk sistem pendidikan dan latihan yang seiring dengan keperluan industri serta pasaran semasa. Melahirkan sumber tenaga manusia yang berkebolehan, bermotivasi tinggi, cekap dan produktif adalah penting bagi meningkatkan kadar prouktiviti negara. Isahak (1992) menegaskan bahawa tenaga manusia yang diperlukan di dalam masyarakat industri tentulah tenaga manusia yang cekap dan profesional, berfikiran terbuka untuk menerima dan mengkaji maklumat dan ilmu serta dapat membuat penyesuaian dengan cepat.
Memandangkan aktiviti perindustrian pada masa hadapan adalah berteraskan teknologi tinggi dan teknologi maklumat, maka adalah perlu bagi pihak kerajaan atau swasta yang terlibat dengan pendidikan teknik and vokasional ini untuk membuat perancangan yang teliti dan komprehensif bagi mewujudkan suatu sistem pendidikan yang baik agar ia dapat mampu memenuhi keperluan negara. Pendapat ini turut dikongsi oleh Rahmah dan Ishak (1995) yang menyatakan bahawa:
"Walaupun sektor pendidikan dikatakan dapat membantu mengekalkan daya saing negara melalui peningkatan dalam tingkat dan kemahiran penduduk, namun sekiranya perkembangan sektor tersebut tidak selaras dengan keperluan perkembangan ekonomi semasa, maka peranan ini mungkin akan terjejas. Sekiranya perkembangan semasa menuntut kepada sebuah masyarakat yang berteknologi tinggi, maka trend pendidikan yang diwujudkan haruslah berupaya memenuhi tuntutan tersebut."

Jika melihat kepada objektif penubuhan sekolah teknik dan vokasional, maka, kita dapatlah memahami bahawa ianya bertujuan bagi melatih para pelajar untuk pekerjaan dan mendedahkan mereka kepada suasana kerja dari awal lagi. Pendidikan teknik dan vokasional juga berperanan sebagai sistem alternatif bagi menyediakan latihan pendidikan bercorak kemahiran pra vokasional dalam usaha untuk menyediakan mereka memenuhi permintaan pasaran pekerjaan pada masa hadapan. Siti dan Nor Azizah (1995) menggariskan beberapa objektif sekolah menengah teknik dan vokasional iaitu:

a) Menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri dan perdagangan.
b) Membina tabiat bekerja dan sikap yang baik pada diri sendiri, khususnya sikap bertanggungjawab dan kesungguhan, supaya menjadi rakyat berguna dan produktif.
c) Membina asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknik dan vokasional.

Berdasarkan objektif-objektif tersebut, kita dapat melihat akan kepentingan pendidikan teknik dan vokasional dalam berperanan melatih, seterusnya melahirkan golongan yang mempunyai pengetahuan, sikap dan kemahiran tinggi yang berupaya memenuhi keperluan guna tenaga manusia di negara kita ini.


Sistem PTV Di Malaysia

Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa pendidikan teknik dan vokasional di negara kita adalah dijalankan oleh pihak kerajaan dan swasta. Kerajaan melaksanakan program formal pendidikan teknik dan vokasional melalui agensi-agensinya iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia Dan Sukan, dan MARA. Kesemua agensi-agensi tersebut masing-masing mempunyai corak pendidikan dan latihan yang menjurus kepada melahirkan tenaga mahir dan separa mahir di bidang teknikal dan vokasional disamping pengetahuan teknologi. Agensi latihan swasta seperti Institut Teknologi Federal, Institut Teknologi Pekerja, TAFE (Seremban) dan juga Jayadiri Institute Of Technology yang menjalankan kursus dalam pelbagai peringkat untuk memenuhi keperluan mereka sendiri. Agensi latihan swasta menyediakan pelajar mereka menduduki peperiksaan atau ujian tempatan seperti yang dikelolakan oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan agensi luar negeri yang berkaitan dengan bidang mereka seperti British Technical Education Council (BTEC), City And Guilds (London) (Siti dan Nor Azizah, 1995).
Kementerian Pendidikan selaku agensi kerajaan yang utama dalam mengendalikan pendidikan teknik dan vokasional telah melakukan pelbagai usaha dalam mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan bidang ini, infrastruktur, kelayakan pengajar dan sebagainya. Shahril (1993) menyatakan bahawa selain menyediakan pendidikan vokasional dan teknikal di peringkat menengah atas, Kementerian Pendidikan juga telah mendirikan sebanyak tujuh buah politeknik yang menawarkan pelbagai kursus seperti kejuruteraan awam, elektrik, elektronik, jentera, kejuruteraan laut, perdagangan, komputer, pemprosesan maklumat, akauntasi dan pemasaran di peringkat sijil dan diploma bagi menyediakan tenaga kerja terlatih di peringkat separa iktisas. Ini menggambarkan akan usaha bersungguh-sungguh kerajaan dalam menyediakan prasarana yang mencukupi bagi membentuk suatu sistem pendidikan teknik dan vokasional yang sistematik, efisien dan mampu mengeluarkan produk menurut keperluan pasaran semasa.
Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa Kementerian Pendidikan bertanggungjawab dalam mengendalikan pendidikan teknik dan vokasional pada peringkat menengah atas iaitu melalui Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional. Pilihan aliran antara akademik dan pendidikan teknik dan vokasional bermula di Tingkatan 4. Bagi aliran pendidikan teknik dan vokasional terdapat dua jenis aliran iaitu
a) Aliran pendidikan teknik
b) Aliran vokasional

Menurut Shahril dan rakan-rakan (1993) aliran pendidikan teknik adalah bertujuan untuk menyediakan pelajar yang cenderung kepada bidang teknik di peringkat menengah atas bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dalam bidang teknik. Oleh itu, aliran teknik ini mengambil pelajar yang mempunyai latarbelakang matematik dan sains yang mantap untuk melayakkan mereka melanjutkan pengajian dalam kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi. Pengambilan pelajar adalah berdasarkan pencapaian yang baik dalam keputusan PMR dan juga minat mereka dalam bidang teknik. Di bawah aliran ini pelajar juga boleh mengikuti mata pelajaran teknikal seperti lukisan teknik, lukisan jentera, Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrikal, Binaan bangunan, ilmu Ukur, Perdagangan dan Pertanian sebagai tambahan kepada mata pelajaran akademik. Pelajar-pelajar aliran ini adalah dikehendaki mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Aliran vokasional pula adalah bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cenderung kepada bidang vokasional di peringkat pendidikan menengah atas di mana bidang kursus yang ditawarkan adalah bagi membolehkan pelajar mendapatkan pengetahuan asas vokasional dan kemahiran untuk membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan sebagai tenaga mahir dan separuh mahir dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pertanian (Shahril dan rakan-rakan, 1993). Di dalam aliran vokasional ini terdapat dua pilihan kursus yang ditawarkan iaitu:
a) Aliran SPMV
b) Aliran kemahiran

Kursus dua tahun SPMV ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang lulus PMR yang memilih bidang vokasional. Di antara kursus yang ditawarkan ialah seperti Kejuruteraan atau ketukangan, Ekonomi Rumahtangga, Perdagangan dan Pertanian. Sukatan pelajaran akademik yang diajar dalam aliran ini adalah sama dengan yang terdapat di aliran akademik. Perbezaannya ialah daripada aspek terdapatnya tiga komponen mata pelajaran vokasional iaitu teknologi, amali dan lukisan yang berkaitan. Penggabungan di antara akademik dan vokasional ialah untuk memastikan lulusan sekolah vokasional mempunyai pengetahuan akademik serta kemahiran asas yang kukuh untuk membolehkan mereka menjadi kreatif, inovatif dan fleksibel kepada perubahan teknologi.
Pelajar aliran kemahiran adalah mereka yang biasanya lemah dalam PMR atau yang keciciran. Pelajar dalam aliran ini akan mengikuti latihan kemahiran untuk menduduki Peperiksaan Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di peringkat asas di akhir tahun pertama dan di peringkat pertengahan di tahun kedua. Mereka akan mengikuti latihan dua tahun itu di sekolah-sekolah vokasional yang menawarkan kursus tersebut. Di dalam kursus ini juga terdapat komponen "On Job Training" di mana mereka dikehendaki menjalani latihan bekerja di kilang atau industri yang berkaitan selama 3 bulan. Di sini mereka akan diberi peluang untuk mempraktik dan mengembangkan segala pengetahuan asas yang telah diperolehi di sekolah dalam situasi kerja yang sebenar bagi menyediakan mereka dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh pihak majikan. Ini selaras dengan pernyataan berikut iaitu:
"Dalam pembangunan tenaga manusia, sektor swasta memainkan peranan yang paling utama. Tenaga kerja di sektor swasta perlu dilatih oleh pihak swasta sendiri dengan tujuan untuk menyediakan pekerja-pekerja dengan tugas yang sentiasa berubah (Mahathir, 1991).
Berdasarkan fakta-fakta di atas, dapatlah dilihat bahawa telah cuba diwujudkan suatu sistem pendidikan teknik dan vokasional yang baik bagi maksud pembangunan sumber manusia yang lebih menyeluruh iaitu di kalangan pelajar yang cemerlang, sederhana dan lemah di dalam bidang akademik mereka. Ini juga merupakan suatu usaha untuk meluaskan lagi corak pendidikan yang tidak semata-mata menekankan akademik atau umum tetapi turut mengambil kira pendidikan teknik dan vokasional di samping teknologi dalam melahirkan sumber tenaga manusia di bidang yang amat diperlukan negara sekarang ini.

Cabaran-Cabaran Pendidikan Teknik Dan Vokasional Dalam Pembangunan Sumber Manusia

Dalam situasi negara yang sedang berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan industri, maka adalah penting bagi kita untuk mengekalkan daya saingan dan produktiviti dengan menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran, bermotivasi dan berpendidikan secara konsisten. Oleh itu, hasrat dan harapan negara terhadap latihan dan pendidikan dalam bidang teknik dan vokasional adalah amat tinggi. Kelemahan di dalam sistem latihan atau pun pendidikan teknik dan vokasional akan menyebabkan kurangnya tenaga mahir yang seterusnya menjejaskan kadar pertumbuhan industri dan pengeluaran nasional. Cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh pendidikan teknik dan vokasional ialah:

(a) Persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional.
Sikap memandang rendah pada pelajar-pelajar sekolah vokasional sebagai gagal akademik masih menebal di kalangan masyarakat. Ramai juga ibubapa, terutama Pegawai Tinggi Kerajaan kurang menggalakkan anak-anak mereka yang berminat dalam bidang kemahiran untuk meneruskan pengajian dalam bidang teknik dan vokasional (Yahya, 1993). Perasaan ini timbul kerana di masa lalu murid-murid yang memasuki sekolah nasional adalah terdiri daripada mereka yang berkelulusan rendah dalam peperiksaan SRP atau kini PMR dan gagal untuk meneruskan pengajian ke Tingkat Empat di sekolah akademik. Selain daripada itu, pendidikan ini dikaitkan dengan pekerjaan kolar biru hasil daripada mereka yang gagal meneruskan pengajian akademik bagi mencapai cita-cita mendapat pekerjaan berkolar putih.

(b) Sistem pendidikan teknik dan vokasional yang terlalu menekankan teori.
Institusi-institusi pendidikan yang terlibat di bidang vokasional dan teknikal hanya menitik beratkan kursus-kursus berbentuk teori sahaja dan amat kurang menekankan aspek amali terutamanya kerja-kerja amali di kilang atau sektor perindustrian terutamanya pelajar di sekolah-sekolah vokasional dan teknik. Pendidikan teknik dan vokasional kurang melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang betul dan secukupnya untuk pekerjaan kerana tidak ada perhubungan dengan suasana kerja (Siti dan Nor Azizah, 1995). Situasi ini adalah berbeza dengan berbeza dengan situasi di negara-negara industri seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan sebagainya. Memetik kenyataan yang telah dikeluarkan oleh akhbar The Star terbitan 3 Februari 1993 mengatakan bahawa:
"Germany where nearly 70% of all school leavers further move through a system of vocational education and training called the Dual System where vocational training constitutes 75% of syllabus with theoretical training and general education making up the remaining 25%".
Fenomena ini dilihat sebagai pengancam kepada hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan separa mahir dalam mencapai matlamat negara sebuah negara maju.

(c) Sistem pendidikan negara yang lebih menekankan pendidikan akademik atau umum.
Suatu lagi masalah yang perlu diberi perhatian ilah kelemahan perlaksanaan pendidikan di Malaysia yang seolah-olah terlalu menekankan kepada pendidikan akademik atau umum. Ini boleh menjejaskan keupayaan negara untuk melahirkan sumber manusia yang mahir dan separa mahir selaras dengan keperluan semasa negara. Kurangnya penekanan ke atas pendidikan sains dan teknologi serta kekurangan kemudahan pendidikan vokasional dan teknik telah memberi kesan yang besar ke atas keupayaan institusi-institusi pendidikan tempatan menghasilkan tenaga kerja yang mencukupi untuk pasaran pekerjaan (Siti dan Nor Azizah, 1995). Keadaan ini juga dilihat amat berbeza dengan apa yang berlaku pada negara-negara perindustrian lain atau pun negara-negara sedang membangun. Negara-negara tersebut dilihat mempunyai peratusan yang tinggi terhadap pelajar-pelajarnya yang melanjutkan pengajian di bidang teknikal berbanding negara kita.
"Comparative study of Malaysian education falls not just behind NICS like Sinagapore but even other developing countries, only 30% of all tertiary students in Malaysia are in in the technical field compared with 60% in Singapore,42% in Brazil and 48% in Mexico".(The Star, Feb 10, 1993).

Cadangan-Cadangan Bagi memperbaiki PTV Bagi Memenuhi Permintaan Sumber Manusia Terlatih

Selepas melihat keterbelakangan Malaysia dalam pendidikan Teknik dan Vokasional maka adalah amat penting untuk Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan beberapa perubahan untuk memperbaiki pendidikan Teknik dan Vokasional negara. Antara cadangan yang telah diberikan ialah;

(a) Menggiatkan usaha untuk mengubah tanggapan masyarakat terhadap pendidikan Teknik dan Vokasional melalui kempen-kempen penerangan. Kempen ini boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah. Pada masa yang sama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia boleh juga mewar-warkan kejayaan lulusan pendidikan Teknik dan Vokasional (Yahya Emat, 1993).

(b) Menambah bilangan sekolah teknik dan vokasional agar dapat melatih lebih ramai tenaga kerja negara. Latihan-latihan yang dijalankan bolehlah dilaksanakan dengan kerjasama pihak swasta (Shahril Marzuki, 1993). Melalui kerjasama ini pendidikan Teknik dan Vokasional akan dapat melahirkan tenaga kerja yang memenuhi kriteria keperluan industri negara. Ini juga sesuai dengan saranan Perdana Menteri yang mahukan pendidikan Teknik dan Vokasional seiring dengan teknologi semasa perindustrian (Berita Harian, Februari 17,1993).

(c) Meningkatkan kualiti latihan kemahiran dan kursus yang ditawarkan. Dalam memnuhi cadangan ini sepatutnya tenaga pengajar pendidikan Teknik dan Vokasional terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan terkini, berorientasikan industri dan berpengalaman kerja dalam industri (Yahya Emat, 1993).

(d) Menaikkan taraf politeknik sebagai sebuah universiti (Shahril Marzuki, 1993). Di mana politeknik perlu menukar misinya daripada melahirkan tenaga kerja separuh mahir kepada tenaga kerja profesional. Tujuan penaiktarafan ini akan lebih mudah jika mendapat kerjasama daripada pihak industri.

Kesimpulan
Proses pembangunan ekonomi sesebuah negara berkait rapat dengan pembangunan sumber manusia yang mampu dilaksanakan negara tersebut. Memandangkan negara kita sedang menumpukan pembangunan ekonomi yang berteraskan industri dan teknologi, maka, adalah sudah barang tentu harapan yang tinggi diletakkan terhadap peranan bidang pendidikan teknik dan vokasional. Keupayaan sistem pendidikan teknik dan vokasional ini untuk dilaksanakan dengan jayanya akan menentukan nasib masa depan wawasan negara bagi mencapai sebuah negara maju. Dalam usaha untuk menyusun suatu kurikulum yang komprehensif bagi program latihan dan pendidikan bidang ini, maka, kerjasama yang erat adalah perlu diwujudkan secara ikhlas serta konsisten di antara kerajaan dan swasta. Ini adalah perlu bagi memastikan lulusan pendidikan teknik dan vokasional berupaya mengikuti perubahan teknologi dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa. Oleh itu, kerjasama semua pihak adalah diharapkan bagi merealisasikan cita-cita negara kita ke arah menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju yang lain.


Rujukan:
1. Mahathir Mohamad (1991). Malaysia: Melangkah Ke Hadapan (Wawasan 2020). Kertas kerja dibentangkan dalam Mesyuarat Pertama Majlis Perniagaan Malaysia pada 28hb.Februari 1991. Kuala Lumpur:Jabatan Percetakan Negara.
2. Siti Maspiah Hassan; Nor Azizah Salleh (1995). Pendidikan Vokasional: Formal Dan Non-Formal Ke Arah Wawasan 2020. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke-21 pada 9November 1995. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
3. Isahak Haron, (1992). " Aliran Perkembangan Pendidikan dan Pembentukan Malaysia sebagai Negara Industri Dalam Abad Ke 21". Pidato Umum Aminuddin Baki Kali Ke-4. UPM. 4 Januari 1992.
4. Kementerian Pendidikan Malaysia (1992). "Perangkaan Pendidikan 1990". Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
5. Malaysia (1991). Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua 1991-200. Jabatan Percetakan Negara. Kuala Lumpur.
6. Yahaya Emat . Cabaran Dan Strategi Pendidikan Teknik Dan Vokasional Ke Arah Mencapai Wawasan 2020. Jurnal Pendidikan, Jilid 37 Keluaran 8 Jun 1993. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur.
7. Shahril Marzuki (1993). Pendidikan Malaysia : Arah Dan Cabaran : Jenis-Jenis Pendidikan Swasta Dan Peranannya Dalam Pembangunan Negara,.Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
8. Shahril Marzuki (1993). Pendidikan Malaysia : Arah Dan Cabaran : Cabaran-Cabaran Dalam Pendidikan Teknik Dan Vokasional Bagi Memenuhi Permintaan Sumber Tenaga Manusia Untuk Mencapai Wawasan 2020, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
9. ____________, The Star 3 Februari 1990.
10. ____________, Berita Harian, __ Disember 1992.
11. ____________, Berita Harian, 17 Februari 1993.
12. ____________, The Star, 10 Februari 1993.
13. Ishak Yusuf; Rahmah Ismail (1997). Pendidikan di Malaysia. Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.
14. Kementerian Pendidikan Malaysia (1993). Laporan Status Pendidikan Teknik dan Vokasional. Kuala Lumpur.
15. Kementerian Pendidikan Malaysia (1975). Laporan Ahli Jawatankuasa Pendidikan Kuala Lumpur.
16. Shahril Marzuki; Saedah Hj. Siraj; Zainun Ishak; Lee Pau Wing, (1993). Pendidikan Di Malaysia. Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.