Friday 30 July 2010

Kes rogol oleh pemandu van sekolah

Sumber: Utusan Online
Tarikh Akses: 30 Julai 2010
Url:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

Ulasan:

Kejadian rogol oleh pemandu van sekolah terhadap seorang murid sekolah berumur 10 tahun baru-baru ini seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia adalah suatu yang amat mendukacitakan. Perlakuan tersebut ibaratkan pepatah Melayu yang mengatakan 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Kepercayaan yang diberikan oleh ibubapa yang mengambil perkhidmatan beliau dengan harapan dapat memberikan keselesaan dan keselamatan kepada anak-anak mereka telah dicabuli. Penulis tidak mempunyai sebarang statistik yang tepat bagi menyokong telahan beliau sejauhmana kes-kes seumpama ini pernah terjadi. Namun, sekali ianya terjadi sudah cukup untuk membuka mata kita semua para ibubapa, pihak berkuasa polis, dan kerajaan dalam usaha menangani masalah ini agar tidak berlaku lagi pada masa depan.

Kesibukan para ibubapa dalam menghadapi beban kewangan dalam menyara keperluan keluarga sedikit sebanyak telah menyumbang berkembangnya perkhidmatan van sekolah dikalangan pengusaha-pengusaha persendirian mahupun syarikat bagi menampung permintaan yang tinggi. Tidak dinafikan situasi ini merupakan sesuatu yang positif terutamanya dalam membantu para ibubapa yang tidak berkesempatan untuk menghantar dan menjemput anak-anak untuk pergi dan pulang ke sekolah. Namun begitu, kes yang terjadi ini sewajarnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar mewujudkan satu mekanisma yang berkesan bagi memastikan bahawa kanak-kanak yang menggunakan perkhidmatan seumpama ini terjamin keselamatan mereka daripada segelintir pemandu van yang mempunyai nafsu durjana.

Sehubungan dengan itu, beberapa cadangan diutarakan oleh penulis dengan harapan perkara sebegini tidak akan berulang di samping pihak berkuasa polis serta ibubapa dapat sama-sama memantau tahap perkhidmatan serta etika tingkah laku pemandu van sekolah yang perlu dipatuhi oleh mereka serta majikan mereka:

Pertamanya, setiap pemandu dan bakal pemandu van sekolah perlulah disemak latarbelakang mereka oleh pihak berkuasa (polis atau JPJ atau yang seumpamanya) bagi memastikan mereka tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah yang boleh menyebabkan kanak-kanak yang menjadi penumpang mereka menerima risiko tersebut. Pihak berkuasa yang berkenaan perlulah mengeluarkan sijil pengesahan 'layak untuk memberikan perkhidmatan kepada golongan kanak-kanak' yang mempunyai tempoh laku tertentu dan perlu memperbaharuinya apabila tempoh tersebut tamat. Ini membolehkan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa hanya individu yang layak sahaja boleh terlibat dalam perkhidmatan berkenaan dan bagi mereka yang pernah mempunyai rekod kesalahan jenayah perlulah dihalang atau ditarik balik kelayakan tersebut.

Keduanya para pengusaha van sekolah perlulah memastikan bahawa semua pemandu mereka mematuhi kelayakan tersebut dan jika ada yang melanggar peraturan ini perlulah dikenakan tindakan seperti menggantung lesen perniagaan atau seumpamanya. Pengusaha juga perlu memastikan bahawa mereka mempunyai maklumat yang lengkap dan terkini setiap pemandu van sekolah mereka sekiranya diminta oleh pihak berkuasa polis apabila diperlukan.

Ketiganya, perlu ada satu garispanduan yang jelas tentang tatacara dan tatalaku para pemandu van sekolah semasa berurusan dengan kanak-kanak agar boleh menjadi rujukan kepada para ibubapa serta kanak-kanak itu sendiri. Ini sedikit sebanyak akan memberi kefahaman kepada kanak-kanak itu sendiri untuk mengenalpasti sebarang risiko dan kaedah yang terbaik untuk mereka menghindari atau menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa.

Peristiwa sebegini tidaklah harus dilihat sebagai kes terpencil malah perlu diambil perhatian oleh semua pihak terutamanya ibubapa, pihak berkuasa dan penggubal dasar yakni pihak kerajaan sendiri.

No comments:

Post a Comment