Wednesday 29 September 2010

ULASAN RENCANA ISU PENDIDIKAN : "Membanteras Samseng Kecil"

ULASAN RENCANA ISU PENDIDIKAN

"Membanteras Samseng Kecil"

Oleh Nursalwati Ali

Pengulas: Aede Hatib B. Musta'amal, Januari 1999

Sinopsis Artikel

Artikel ini telah diterbitkan di dalam Majalah Massa pada keluaran 20 September 1997. Penulis cuba membangkitkan isu keganasan di kalangan pelajar sekolah seperti peras ugut, mencederakan dan membunuh yang kini bukan sahaja melanda di kalangan pelajar sekolah menengah malah turut melibatkan pelajar sekolah rendah. Masyarakat mula menimbulkan isu berkaitan peranan dan cabaran profesion perguruan dalam menghadapi situasi tersebut. Selain daripada itu, perbincangan turut menyentuh peranan yang wajar diambil oleh ibubapa, guru, sekolah, kerajaan, swasta dan juga masyarakat dalam menangani permasalahan ini.

Ulasan

Penulis melihat penglibatan pelajar sekolah dengan aktiviti-aktiviti salah laku jenayah terutamanya budaya samseng adalah pada tahap yang serius. Dalam artikelnya, penulis menyorot kembali kes kematian Masidah Suria Che Pa, 7, yang amat menggemparkan seluruh masyarakat di mana ia berpunca dari tindakan seorang pelajar perempuan yang baru berumur 10 tahun sahaja. Apatah lagi kejadian tersebut dilihat oleh banyak pihak mempunyai unsur paksaan dan peras ugut oleh seorang kanak-kanak perempuan ke atas rakannya yang berakhir dengan kematian. Ini menggambarkan suatu keadaan di mana para pelajar sekolah sekalipun pada usia yang muda telah telah mula melibatkan diri dengan aktiviti jenayah seperti peras ugut, memukul, sehinggalah kepada membunuh. Dalam kejadian yang berasingan pula 10 orang pelajar ditahan kerana disyaki terlibat menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan 2 iaitu Mohd. Zulkarnain Rahim dari Sekolah Menengah Abdul Rahman Yasin (SDARY) Tampoi, Johor Bahru (Berita Harian, 19 Februari 1997). Sekiranya kita mengikuti perkembangan mutakhir, maka laporan media massa menunjukkan bahawa kegiatan jenayah di kalangan pelajar sekolah seperti pecah rumah, peras ugut, membuli, bergaduh, menganggotai kongsi gelap dan sebagainya semakin berleluasa serta amat membimbangkan. Satu laporan akhbar juga telah menyebut bahawa seorang pelajar tingkatan tiga sekolah menengah cedera apabila dikatakan diserang dua pelajar lain kerana enggan menyerahkan wang RM1 di luar sekolah mereka (Berita Harian, 20 Februari 1997). Manakala di Johor Bahru seramai 187 orang pelajar dari 13 buah sekolah menengah di daerah itu didapati terlibat secara langsung dengan 13 kumpulan kongsi gelap yang aktif (Utusan Malaysia, 20 Februari 1997).
Fenomena ini amat bertentangan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara yang antara lain berhasrat untuk melahirkan insan tulen yang benar-benar berkualiti dan berguna untuk perkembangan dan kemajuan Malaysia. Ini ditegaskan oleh Muhd Mansur Abdullah (1986) yang berpandangan bahawa:
"Adalah menjadi hasrat kerajaan menjadikan matlamat pendidikan di negara ini bagi melahirkan individu-individu yang berdisiplin. Dengan harapan agar akan mewujudkan satu masyarakat yang bertatasusila, bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif. Tetapi yang nyata disiplin itu sendiri sudah berani dilanggar oleh murid-murid sekarang. Mereka seolah-olah mencabar dasar pelajaran mereka sendiri."

Kecemerlangan peribadi dan keunggulan sahsiah adalah penting kerana sejarah menunjukkan bahawa negara akan punah dan peradaban akan musnah sekiranya warganegaranya tidak beretika, berjiwa gersang, buruk akhlak dan tidak bermoral. Ini selari dengan pendapat Mohd. Tajudin Abdul Rahman (1995) yang mengatakan bahawa sekiranya gejala salah laku ini tidak diatasi dan berterusan, negara berkemungkinan akan menghadapi risiko yang besar. Sememangnya masyarakat yang berdisiplin merupakan satu aset yang amat penting dalam membantu merangsang pembangunan bangsa dan negara
Penulis juga turut menyentuh sudut profesion perguruan pada masa kini dalam menghadapi permasalahan salah laku jenayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Penulis memetik pandangan seorang bekas guru, Ali Shafie, yang menyatakan bahawa guru pada masa kini lebih cenderung melihat profesion perguruan dari aspek nilai komersil berbanding dengan guru dahulu yang bersifat qanaah dan menjalankan tugas atas dokongan semangat kebangsaan yang mahu melihat anak-anak bangsa berjaya. Sesungguhnya fenomena sebegini adalah tidak wajar sekiranya merujuk pandangan Dr Abdul Halim El-Muhammady (1985) yang menegaskan bahawa guru perlulah menjalankan tanggungjawab mereka bukan atas dasar kebendaan atau penghormatan masyarakat. Menurut beliau lagi guru boleh menerima ganjaran daripada usaha mereka, tetapi janganlah kebendaan itu diletakkan sebagai kemuncak matlamat kerja.
Sikap guru yang membuat pengukuran pencapaian berdasarkan kebendaan itu akan menjejaskan peningkatan mereka dan pencapaian anak didik mereka. Ini seterusnya akan menjadi penyumbang kepada kegagalan pihak guru serta sekolah untuk berfungsi secara efisien sebagai pembentuk akhlak dan moral yang tinggi terhadap pelajar mereka. Dalam hal ini Abd Rahim Abd Rashid (1997) telah menyebutkan beberapa aspek yang menjadi faktor kegagalan pihak guru memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pembentuk akhlak dan moral di kalangan pelajar mereka dimana antaranya ialah hubungan interpersonal yang renggang, guru yang kurang bermotivasi dan berdedikasi, perasaan tidak puas hati yang tinggi terhadap sekolah, hubungan guru dan murid yang tidak harmoni, dan juga sikap kurang keprihatinan yang ditunjukkan oleh guru-guru terhadap masalah murid mereka. Sewajarnyalah guru sebagai agen sosialisasi di dalam sekolah yang berorganisasi menjalankan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik (Mok Soon Sang, 1996).
Pengaruh kegiatan kongsi gelap yang semakin meningkat turut cuba diketengahkan oleh penulis dengan mengutarakan laporan yang menyatakan tentang terdapatnya tiga kumpulan kongsi gelap di Melaka sedang giat mencari anggota baru dengan sasaran utama terdiri daripada golongan pelajar. Menurut perangkaan pihak polis, di Negeri Johor sahaja terdapat 560 orang pelajar sekolah menengah yang dipercayai terlibat dengan kegiatan kongsi gelap (Utusan Malaysia, 19 Februari 1997). Sebarang bentuk aktiviti salah laku atau jenayah di persekitaran sekolah pastinya akan menjejaskan iklim masyarakat persekolahan dan pendidikan sekiranya ia terus merebak dan tidak terkawal. Ini adalah kerana sebarang usaha untuk mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan akan terganggu kerana mereka terpaksa merentangi persoalan-persoalan yang adakalanya bukan sahaja menuntut kemampuan tenaga dan minda, malah turut melibatkan perbelanjaan yang agak besar demi melaksanakan program-program yang sewajarnya.
Berdasarkan laporan Disorder in Our public School yang dikeluarkan oleh United States Department Of Education dalam tahun 1994, didapati para guru telah menggunakan 30% sehingga 80% daripada masa bertugas mereka bagi perkara yang berkaitan disiplin (Maginis, 1995). Ini menunjukkan bahawa masa produktif guru yang sepatutnya ditumpukan kepada proses pengajaran dan pembelajaran telah berkurangan. Situasi ini pastinya akan menjejaskan kelancaran operasi sekolah dan seterusnya memberikan kesan buruk kepada prestasi guru serta pelajar sekolah terlibat. Selain daripada itu, keselamatan guru turut terancam manakala harta benda sekolah juga banyak yang menjadi sasaran tindakan salah laku memusnah (vandalisme). Ini jelas dinyatakan dalam satu kajian yang lain di United States dimana didapati lebih daripada 100,000 orang guru telah diancam secara fizikal, dan setiap bulan dianggarkan 5,200 orang guru telah diserang secara fizikal. Vandalisme adalah perkara biasa bagi 25% sekolah yang telah diselidik dan ia melibatkan kos sebanyak US$200 juta setahun (Rossman & Morley, 1996).
Kehadiran kumpulan seperti samseng dan kongsi gelap boleh mencetuskan persekitaran yang tegang kepada sekolah.kerana wujudnya perasaan bimbang dikalangan guru mahu pun pelajar terhadap risiko diancam atau pun dicederakan oleh kumpulan terbabit. Pandangan ini turut dikongsi oleh Trump (1993) yang menyatakan bahawa "Students in schools with gang presence are twice as likely to report that they fear becoming victims of violence than their peers at schools without gangs". Ini adalah ekoran aktiviti jenayah dan tindakan agresif para pelajar yang menjadi ahli kumpulan samseng terhadap rakan serta guru mereka. Berdasarkan laporan Disorder in Our Public Schools juga, mendapati bahawa tiga juta pelajar sekolah menjadi mangsa jenayah di sekolah setiap bulan di mana nisbah empat daripada sepuluh pelajar sekolah tinggi telah menjadi mangsa pada tahun sebelumnya (Maginis, 1995). Ini menggambarkan betapa seriusnya kesan negatif yang dibawa oleh kumpulan seperti ini ke atas sekolah selaku pusat pengembangan pendidikan dan moral kepada masyarakat.
Dalam aspek lain pula, penulis ada membincangkan tentang peranan serta penglibatan badan-badan kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat di dalam menangani permasalahan gejala negatif di kalangan remaja termasuklah pelajar sekolah. Ini seiring dengan kenyataan. Menteri Besar Johor yang telah menegaskan bahawa tanggungjawab menangani masalah ini (penyalahgunaan dadah dan kongsi gelap) tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaaan dan badan-badan tertentu sahaja (Utusan Malaysia, 20 Februari 1997). Penulis turut mengutarakan salah satu resolusi yang telah dibentangkan dalam Konvensyen UMNO Negeri Sembilan di mana agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis disarankan agar membentuk kerjasama dalam menangani masalah kegiatan samseng di sekolah. Manakala Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Pahang pula telah menjalankan kerjasama dengan polis dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan motivasi kepada remaja yang terlibat dengan gejala sosial termasuk samseng dan perlumbaan haram (Berita Harian, 20 Februari 1997). Semua komponen institusi masyarakat perlulah mengambil peranan dalam membendung aktiviti negatif di dalam masyarakat terutamanya di kalangan remaja. Pandangan ini selaras dengan kenyataan Mohd Zain Abd Kadir yang mengatakan bahawa:
"Sistem sosial masyarakat juga perlu diberi perhatian agar ia benar-benar memainkan peranan dalam membendung kegiatan kurang sihat serta jenayah terutamanya di kalangan remaja." (Utusan Malaysia, 18 Februari 1997).

Muhd Mansur Abdullah (1986) juga mempunyai pendapat yang sama tetapi pada nada yang lebih tegas apabila menyatakan bahawa sebagai suatu ancaman kepada negara, maka masalah disiplin di kalangan anak-anak muda baik di sekolah atau di rumahnya adalah menjadi isu serius yang meminta semua pihak yang bertanggungjawab bekerjasama mengatasinya. Oleh itu, adalah penting bagi semua lapisan masyarakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk bersama-sama memainkan peranan dalam merancang, menyusun dan melaksanakan program-program yang dapat membantu negara menangani dan seterusnya membasmi gejala tidak sihat di kalangan remaja terutamanya para pelajar sekolah.
Masalah pihak sekolah yang dipercayai sering cuba menyembunyikan kegiatan jenayah di kalangan pelajar juga mendapat perhatian penulis. Pengetua atau guru besar telah diberi amaran oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Fong Chan bahawa mereka akan dikenakan tindakan disiplin sekiranya berbuat demikian. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Siva Subramaniam berkata bahawa banyak kes pelajar terbabit dengan perlanggaran disiplin, termasuk menyertai kongsi gelap yang tidak dikemukakan kepada Pengarah pendidikan daerah atau polis (Berita Harian, 3 Februari 1997). Suatu perkara yang penting bagi sekolah untuk mempunyai mekanisme pengawalan sosial yang berkesan bagi membolehkan ia berupaya mengawal gejala-gejala buruk dan membanteras kes jenayah yang melibatkan murid di sekolah. Dengan itu peranan sekolah sebagai ejen pengawalan sosial perlu dilakukan dengan lebih komited demi memelihara kredibiliti institusi sekolah itu sendiri.
Sebarang usaha untuk menyembunyikan permasalahan ini akan hanya memburukkan lagi keadaan. Taylor (1988) berpendapat bahawa pentadbir yang bersikap sedemikian mengalami Ostrich Syndrome di mana mereka menjadi defensif dan tidak menghiraukan permasalahan serius di sekolah mereka. Lal (1991) turut berpendapat bahawa dengan menafikan situasi negatif pihak pentadbir sekolah yang terlibat akan memburukkan lagi keadaan. Sikap tegas pihak sekolah adalah penting bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah di kalangan pelajar yang boleh mengancam keselamatan pelajar lain, kakitangan dan juga harta benda sekolah. Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa terdapat peningkatan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Oleh itu, reaksi positif sekolah dalam berhadapan dengan permasalahan ini akan dapat mengekalkan sekolah sebagai tempat yang selamat. Seterusnya, ia akan meningkatkan lagi kredibiliti, imej serta kewibawaan guru, kakitangan dan pelajar sekolah terlibat di mata masyarakat sekitar.
Kementerian Pendidikan selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap program pendidikan negara telah mengusulkan beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah sosial yang semakin parah di kalangan pelajar sekolah. Dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia, usaha untuk membanteras salah laku merupakan salah satu agenda bertindak yang disusun dalam program-program Wawasan Pendidikan yang dilancarkan pada 9 April 1993 yang lalu, iaitu sepuluh perkara digariskan sebagai strategi pengisian Wawasan Pendidikan negara, iaitu perpaduan, gaya pengurusan, kepimpinan, perkhidmatan penyayang, pengupayaan, sistem pengesanan, budaya ilmu, sekolah penyayang, dan budaya kecemerlangan (Mohd Tajudin Abd Rahman, 1995). Selain daripada itu terdapat juga cadangan-cadangan lain seperti mewajibkan setiap pelajar menjadi ahli pasukan beruniform, menggunakan konsep rakan sebaya sebagai pembimbing dan memberikan kuasa polis kepada guru disiplin. Pemberian kuasa polis kepada guru disiplin adalah wajar kerana murid-murid yang nakal dan suka melanggar disiplin dalam keadaan tertentu berani mencabar kewibawaan guru yang tidak mereka sukai. Kelemahan yang jelas di sekolah yang menjadi punca kemerosotan disiplin dan bermulanya gejala buruk berkembang di kalangan murid di sekolah ialah guru-guru tidak diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin (Abd Rahim Abd Rashid, 1997). Keadaan ini jugalah yang menjadi punca sebahagian besar guru-guru mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin yang dilakukan oleh murid-murid samada di dalam mahu pun di luar sekolah.

Kesimpulan

Berdasarkan artikel dan ulasan yang telah dihuraikan, dapatlah dilihat bagaimana masyarakat kita sedang menghadapi suatu situasi yang kritikal berhubung masalah perilaku jenayah termasuklah budaya samseng di kalangan pelajar sekolah sekalipun pada usia yang masih muda. Fenomena ini mungkin salah satunya disebabkan oleh sogokan daripada filem-filem dan rancangan TV dari barat yang banyak menunjukkan keganasan, kehendak moral yang bercanggah dengan budaya di rantau ini di mana ianya mudah menyerap dan menular dalam hati sanubari anak-anak muda kita (Muhd Mansur Abdullah, 1986). Dalam hal ini guru-guru menghadapi cabaran dan tanggungjawab yang besar bagi membendung gejala yang tidak sihat ini. Guru-guru perlu turut sama berganding bahu mencari jalan penyelesaian di samping melaksanakan tindakan-tindakan yang boleh membantu dalam mengatasi gejala negatif di kalangan pelajar mereka. Penglibatan guru dalam pendidikan adalah menyeluruh; bimbingan dari segi keilmuan, fizikal, kerohanian dan moral (Abdul Halim El-Muhammady, 1985). Maka, sikap berlepas tangan di dalam perkara masalah disiplin ini merupakan suatu pengabaian oleh guru-guru yang terlibat terhadap profesion perguruan yang mereka ceburi.
Dalam hal pengaruh kegiatan negatif seperti samseng, kongsi gelap, samun, pecah rumah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah, perlulah ditangani bersama-sama oleh semua pihak termasuklah badan kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat keseluruhannya. Semua pihak perlulah bersikap lebih terbuka dalam mengakui hakikat akan wujudnya masalah begini di dalam masyarakat kita. Perbuatan menyembunyikan permasalahan ini merupakan perkiraan yang silap kerana ianya akan hanya menjadikan perkara ini menjadi lebih serius dan parah. Sekolah dan sistem pendidikan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan nilai-nilai hidup dan norma yang baik di kalangan generasi yang akan datang. Keseluruhan matlamat pendidikan dan sekolah perlu berperanan sebagai moral enterprise di mana pendidikan berperanan untuk membina tingkah laku, mencorakkan perkembangan personaliti, menanamkan kesedaran sosial dan moral dengan memupuk asas-asas kemoralan dan menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan dan sosial (Abd Rahim Abd Rashid, 1997).


Bibliografi
? Ahmad Fauzi Mustafa; Ismail Mat. Kongsi Gelap, Dadah: 44 Pelajar Di Tahan. Berita Harian. Keluaran 19 Februari 1997.
? Samsor Junet. 560 Pelajar Di Johor Terlibat Kongsi Gelap. Utusan Malaysia. Keluaran 19 Februari 1997.
? Noor Azmah Ibrahim. Ibubapa Punca pelajar Samseng. Utusan Malaysia. Keluaran 18 Februari 1997.
? Pelajar Diserang Kerana Enggan Beri RM1. Berita Harian. Keluaran 20 Februari 1997.
? Kongsi Gelap: 26 remaja Ditahan. Utusan Malaysia. Keluaran 20 Februari 1997.
? Mohd. Tajudin Abdul Rahman. Salah Laku: Penyelesaiannya Bagaimana?. Dewan Masyarakat. Keluaran Bulan Mei 1995.
? Maginis, R (1995), Violence in The School House: A Ten Year Update. Sumber: http://www.townhall.com/townhall/spotlights/9-11-95/is94e5cr.html.
? Rossman, S; Morley, E. (1996). Education and Urban Society, di dalam School Safety: What's Being Done and Where Is It Going?, Penulis:Black, E; DeBerjois, J; Lane, P, University of North Carolina, Sumber: http://www.unc.edu.home/afhood/paper.html
? Trump (1993), Trump, K. S. (1993). Youth gangs and schools. Cleveland: Urban Child Research Center, di dalam Gangs in School. Penulis:Burnett, G; Walz, G, ERIC Clearinghouse, Sumber: http://eric-eb.tc.columbia.edit /digests /dig99.html
? Lal, S.R. (1991) A study of strategies employed by junior high school administrators to overcome disruptive gang related activities. Unpublished doctoral dissertation, University of California, Los Angeles. di dalam Developing A Gang Prevention Program. Sumber:http://eric-web.tc.columbia. edu/monographs/ uds107_prevention.html
? Taylor, C.S (1988), Youth Gangs Organize Quest For Power, Money. National School Safety Center News Journal. Malibu, CA: Pepperdine University Press. di dalam Developing A Gang Prevention Program, Sumber:http://eric-web.tc.columbia. edu/monographs/ uds107_prevention.html
? Lal, S.R. (1991) A study of strategies employed by junior high school administrators to overcome disruptive gang related activities. Unpublished doctoral dissertation, University of California, Los Angeles. di dalam Developing A Gang Prevention Program. Sumber:http://eric-web.tc.columbia. edu/monographs/ uds107_prevention.html
? Gaustad, J (1991), Schools Respond To Gangs And Violence, Eugene, OR: Oregon school study council, Sumber: http://eric-eb.tc.columbia.edit /digests /dig99.html
? Abdul Halim El-Muhammady (1985). Peranan Guru Dalam Pendidikan Islam. Di dalam Jurnal Pendidikan Islam Keluaran Tahun 1 Bilangan 4 Disember 1986. Kuala Lumpur: Biro Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
? Abd Rahim Abd Rashid (1997). Mampukah Sekolah Membanteras Jenayah?. Ruangan Pendidikan, Majalah Massa Keluaran 8 Mac 1997.
? Mok Soon Sang (1996). Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.
? Muhd Mansur Abdullah (1986).
? Ramai Pengetua Sembunyi Jenayah Di Sekolah. Berita Harian. Keluaran 3 Februari 1997.

No comments:

Post a Comment